Masih terkesan dengan impak pandemik, penganalisis kekal saranan 'pegang' saham Pos Malaysia | DagangNews Skip to main content

Masih terkesan dengan impak pandemik, penganalisis kekal saranan 'pegang' saham Pos Malaysia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Sekatan pergerakan yang berpanjangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dilihat terus mempengaruhi proses pemulihan Pos Malaysia Bhd. meskipun kerugian yang direkodkan pada suku ketiga adalah lebih kecil.

 

Pos Malaysia semalam mengumumkan kerugian sebelum cukai kumpulan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berkurangan kepada RM40.5 juta, berbanding RM119.4 juta yang dialami pada suku sebelumnya terutamanya didorong oleh pelan pemulihan yang berkesan termasuk pengurusan kos yang rapi. 

 

Hasil yang direkodkan pada suku tersebut juga susut 13.9% kepada RM536.3 juta disebabkan penghantaran surat yang perlahan di peringkat domestik dan antarabangsa.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September pula, kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM206 juta, dengan hasil sebanyak RM1.66 bilion. 

 

Melihat kepada faktor tersebut, AmInvestment Bank Research menjangkakan kerugian bersih akan melebar kepada RM197.9 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding unjuran sebelum ini, RM164.9 juta. 

 

Malah, ia juga menyemak turun unjuran hasil bagi FY22 dengan kerugian RM89.2 juta (berbanding RM88.8 juta) dan keuntungan lebih kecil sekitar RM2.7 juta pada FY23 (berbanding RM3.6 juta).

 

"Semakan semula ini mencerminkan pemulihan yang lebih perlahan bagi Pos Malaysia disebabkan impak sekatan pergerakan untuk mengekang jangkitan COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : Pelan pemulihan berhasil, Pos Malaysia berjaya kurangkan kerugian kepada RM40.5 juta

 

 

Selain itu, firma tersebut juga mendapati hasil Pos Malaysia bagi tempoh 9 bulan juga mengecewakan dengan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM154.8 juta berbanding kerugian bersih penuh setahun yang dianggarkan sebelum itu sebanyak RM164.9 juta manakala konsensus pula dianggarkan RM199.5 juta.

 

"Kami masih berhati-hati dengan penurunan ketara dalam jumlah bungkusan yang dikendalikan Pos Malaysia. 

 

"Ini kerana operasi syarikat masih terjejas dengan kebangkitan semula jangkitan COVID-19 di seluruh negara," jelasnya.

 

AmInvestment bagaimanapun mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Pos Malaysia, sebaliknya menyemak turun nilai wajar kepada 76 sen berbanding RM78 sen sebelum itu.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Pos Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah pada 76 sen.

 

Penganalisisnya, Nazira Abdullah menyifatkan masih terlalu awal untuk bersikap optimis memandangkan persekitaran operasi Pos Malaysia kekal mencabar. 

 

Katanya, keadaan ini disebabkan jumlah penghantaran surat yang merosot dan juga persaingan daripada industri penghantaran yang semakin berkembang. 

 

"Dalam taklimat dengan pengurusan baru-baru ini, kami dapati pasukan pengurusan baharu menyasarkan untuk mencapai pulangan modal dengan keuntungan sebelum cukai pada separuh pertama 2022 menerusi pengurangan kos pengeluaran dan kos tidak langsung. 

 

"Kami berpendapat kumpulan baharu ini lebih kepada 'melaksanakan tindakan' untuk mencapai sasaran mereka dan bukan sekadar bercakap-cakap mengenai transformasi. 

 

"Ini dapat dilihat pada prestasi suku ke suku (seperti dinyatakan di atas) yang menunjukkan pelaksanaan awal yang baik," jelasnya.

 

Setakat 10.20 pagi ini, saham Pos Malaysia susut 5 sen atau 6.37% kepada 73.5 sen dengan 1.47 juta saham diniagakan. - DagangNews.com