Matrix Concepts mampu capai sasaran jualan hartanah RM1.3 bilion bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Matrix Concepts mampu capai sasaran jualan hartanah RM1.3 bilion bagi FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Nov - Matrix Concepts Holdings Bhd. optimis mampu mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) di sebalik beberapa kenaikan kadar faedah. 

 

Dalam taklimat secara maya dengan pengarah urusannya, Ho Kong Soon baru-baru ini, RHB Investment Research berkata, kumpulan memiliki rangkaian produk perumahan yang luas di perbandaran sedia ada, sekali gus membantunya mengekalkan momentum jualan hartanah.

 

Menurutnya, pengurusan menyatakan purata kenaikan harga antara 5% hingga 8% merentasi kebanyakan produk hartanahnya akan membantu mengurangkan tekanan kos daripada harga bahan binaan yang tinggi.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan positif terhadap Matrix Concepts memandangkan masalah kekurangan buruh dijangka dapat diselesaikan Disember ini dengan ketibaan kira-kira 400 pekerja. 

 

"Ini bukan sahaja akan menyaksikan aktiviti pembinaan meningkat semula, tetapi merekodkan pendapatan suku keempat yang lebih baik.

 

"Sementara itu, margin keuntungan sepatutnya dapat bertahan memandangkan pelarasan harga jualan yang meningkat untuk kebanyakan produk perbandarannya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Matrix Concepts dengan harga sasaran pada RM1.88 sesaham. 

 

Firma itu berkata, aliran tunai yang sihat dan kunci kira-kira yang kukuh sepatutnya membolehkan kumpulan memperoleh lebih banyak bank tanah, dan pada masa sama, mengekalkan nisbah pembayaran dividen 50%.

 

"Pengurusan menjelaskan pembiayaan untuk pembelian tanah baharu seluas 1,382 ekar yang diperoleh baru-baru ini di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dengan pertimbangan RM460 juta diuruskan dengan baik memandangkan RM1.3 bilion jualannya yang belum dibilkan dan penukaran aliran tunai daripada projek perbandaran sedia ada.

 

"Jika mempunyai peluang, kami berpendapat syarikat masih mampu membeli lebih banyak bank tanah, memandangkan kedudukan kunci kira-kiranya yang sihat (penggearan bersih pada 4% setakat suku pertama FY23)," jelasnya.

 

Malah, ia juga berpendaapat, kelembapan semasa dalam pasaran hartanah juga kondusif bagi pemaju yang kukuh dari segi kewangan untuk mendapatkan simpanan bank tanah pada harga yang menarik. - DagangNews.com