KUALA LUMPUR 14 Mac - RHB Investment Bank Berhad menjangkakan Matrix Concepts Holdings Berhad menyasarkan perkembangan 10% dalam penjualan hartanah dengan menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.3 bilion bagi FY2023.
Katanya, sasaran itu dibuat selepas mereka berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM1.2 bilion selepas berjaya merekodkan jualan sebanyak RM998 juta dalam tempoh sembilan bulan.
Pada masa sama katanya, kumpulan itu juga menyasarkan pembayaran dividen sebanyak 50% walaupun polisi mereka menetapkan pembayaran dividen maksimum sebanyak 40%.
"Projek perbandaran sedia ada akan menjadi pemacu utama jualan manakala projek bertingkat baharu di Cheras dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM375 juta akan dilancarkan menjelang akhir 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, banyak pihak yang terdiri daripada badan korporat dan agensi tempatan menyatakan minat terhadap menara berkembar atau Menara Syariah di Jakarta dan sekiranya berjaya, mereka akan menyelesaikan perjanjian jual beli dalam tempoh enam bulan akan datang.
Katanya, pelancaran projek St. Kilda iaitu projek pembangunan apartmen dengan GDV AU$80 juta (RM245.88 juta) pada Mei atau Jun 2022 akan terus membantu mengukuhkan kedudukan mereka di Australia.
Pada masa sama katanya, kumpulan itu memiliki tanah seluas 2,000 ekar dan pihak pengurusan mempunyai perancangan untuk meluaskan kehadiran mereka di kawasan Sendayan.
"Kami merasakan masa untuk perkembangan itu sangat sesuai kerana kadar faedah semasa masih rendah selain harga tanah masik berada dalam keadaan baik dengan pasaran hartanah sedang menuju ke arah pemulihan.
"Buat masa sekarang, syarikat itu dengang berbincang untuk mendapatkan beberapa bidang tanah dan kami menjangkakan ia akan menjadi pemangkin positif untuk simpanan sekiranya mereka berjaya mendapatkan tanah dengan keluasan yang sesuai," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham-saham Matrix dengan harga sasaran (TP) RM2.66 sesaham berdasarkan kepada potongan 30% tidak berubah terhadap injuran penilaian aset bersih dinilai semula (RNAV) dan gabungan 4% premium amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com