Maybank IB jangka Sapura Energy terus catat kerugian pada FY23-FY24 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka Sapura Energy terus catat kerugian pada FY23-FY24

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Dis - Maybank Investment Bank (IB) melihat prospek Sapura Energy Bhd. kekal mencabar terutama dalam usaha memulihkan semula status PN17 di sebalik langkah penstrukturan kewangan dan operasi yang sedang dilaksanakannya. 

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'jual' terhadap Sapura Energy dengan harga sasaran pada 3 sen sesaham. 

 

Malah, ia mengekalkan jangkaan bahawa kumpulan akan terus mencatat kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23) hingga FY24.

 

Menurutnya, kebanyakan operasinya masih terdedah kepada kontrak legasi dan ini memerlukan Sapura Energy menyusun semula struktur kosnya kepada paras lebih rendah. 

 

"Pada masa sama, kumpulan juga perlu memastikan ia menyelesaikan kontrak tertunggak berjumlah RM6.8 bilion (berdasarkan kepada penurunan buat suku ketujuh berturut-turut) dan tidak meneruskan bidaan yang mengalami lebihan kos atau peruntukan.

 

"Sapura Energy juga perlu melupuskan atau menjana kewangan daripada aset atau perniagaannya yang tidak dapat dielakkan dengan prosesnya terus berjalan," katanya dalam nota kajian. 

 

Sapura Energy mencatat untung bersih sebanyak RM10.18 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 berbanding kerugian bersih berjumlah RM669.34 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Peningkatan dalam pendapatan adalah disebabkan oleh pengiktirafan yang lebih rendah bagi peruntukan untuk kerugian yang boleh dijangka, kos projek yang diiktiraf lebih rendah, susut nilai yang lebih rendah, bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha sama (JV), serta keuntungan pertukaran asing yang menggalakkan.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 12.4% kepada RM1.28 bilion daripada RM1.46 bilion berikutan hasil yang lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

 

Menurut Maybank IB, Sapura Energy kekal dalam kedudukan rugi untuk tujuh suku berturut-turut, dengan isu legasinya masih menjadi teras kepada prestasi rendahnya. 

 

Sehingga skim penstrukturan semula yang dicadangkan bermula dan menawarkan kejelasan dan hala tuju, kumpulan akan kekal terdedah kepada campuran negatif kunci kira-kiranya, aliran tunai yang ketat, kontrak legasi, pelaksanaan yang lemah dan lebihan kos.

 

"Tanpa keuntungan daripada tukaran asing dan pelupusan segmen peralatan, loji dan hartanah (PPE) dan penurunan nilai inventori, Sapura Energy akan merekodkan keuntungan bersih teras yang kebih tinggi sebanyak RM129 juta pada suku ketiga. 

 

"Kelemahan suku ke suku ini sebahagian besarnya disebabkan kemerosotan sehingga 99% dalam operasi penggerudian manakala E&C mencatat kerugian RM27 juta," jelasnya. 

 

Firma itu berkata, Sapura Energy merekodkan kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA); negatif dan kekal dalam liabiliti semasa bersih dan operasi CF negatif masing-masing selama enam suku dan tiga suku berturut-turut.

 

Malah, paras hutang bersih dan penggearan kumpulan juga kekal tinggi masing-masing pada RM9.5 bilion dan 30 kali.

 

Setakat 10.40 pagi, harga sahamnya susut 0.5 sen sen atau 11.11% kepada 4 sen dengan 5.83 juta saham diniagakan. - DagangNews.com