Maybank IB kekal pandangan 'Stabil' bagi profil kredit IJM Corporation | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal pandangan 'Stabil' bagi profil kredit IJM Corporation

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan pandangan stabil bagi profil kredit IJM Corporation Bhd. (IJM) disokong oleh perniagaan Kumpulan yang pelbagai.buku pesanan pembinaan yang besar, jualan hartanah tidak dibilkan, leverage yang lebih baik dan kedudukan mudah tunai yang kukuh.

 

Dalam laporan tinjauan 2022nya, Maybank IB berkata, keadaan operasi yang bertambah baik turut menyokong pemulihan dalam pendapatan IJM.

 

Namun begitu, Maybank IB berkata, risiko terhadap tinjauan berkenaan termasuklah gangguan kepada perniagaan daripada pelaksanaan semula sekatan pergerakan sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19.

 

"IJM telah melupuskan operasi perladangannya dengan nilai MYR1.53 bilion pada September 2021, sekaligus memperkemas perniagaannya, yang kekal dipelbagaikan, kepada pembinaan, hartanah, pembuatan dan pengkuarian (industri) serta infrastruktur.

 

"Tidak termasuk perladangan, keuntungan sebelum cukai 1HFY3/22 turun 37% YoY kepada RM90 juta, terjejas oleh sekatan yang lebih ketat dengan semua segmen, kecuali industri, mencatatkan pendapatan yang lebih lemah. 

 

"Segmen industri mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM26 juta, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM9 juta pada 1HFY3/21, didorong oleh penghantaran cerucuk dan lain-lain yang lebih tinggi, margin yang lebih baik dan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan subsidiari," katanya dalam laporannya di sini hari ini.

 

Tambah Maybank IB, IJM dijangka mencatatkan pemulihan 2HFY3/22 apabila kadar kerja pembinaan dan hartanah meningkat dengan pembukaan semula ekonomi.

 

"Buku pesanan pembinaannya adalah sebanyak RM4.5 bilion pada akhir September 2021. 

 

"Jualan hartanah tidak dibil sebanyak RM1.4 bilion juga memberikan keterlihatan pendapatan jangka terdekat dan jualan hartanah boleh melepasi sasaran RM1.7 bilon selepas mencapai RM1.1 bilion pada 1HFY3/22.

 

"Cukai Makmur dijangka memberi impak ringan di peringkat kumpulan," katanya.-DagangNews.com