KUALA LUMPUR 7 Feb - Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Cypark Resources Bhd. dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.35 sesaham.
Penganalisisnya, Nur Farah Syifaa Mohamad Fuad optimis terhadap prospek kumpulan dari segi operasi dan kewangan apabila siapnya projek sisa kepada tenaga (WTE), projek solar berskala besar (LLS) 2 dan 3 dalam tahun kewangan 2022 (FY22).
Katanya, projek WTE kini berada di peringkat akhir dan dijangka mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada April 2022.
"Bagi projek LSS2 dan LSS3 pula, kami jangkakan ia mencapai COD menjelang suku kedua ini, kemajuan yang perlahan ekoran pandemik COVID-19 dan gangguan musim tengkujuh," katanya dalam nota kajian bertarikh 4 Februari.
Cypark kini sedang membangunkan projek solar PV dengan gabungan 90 megawatt (MW) (dengan 30MW setiap satu) dan 100MW masing-masing di bawah LSS2 dan LSS3.
Projek LSS2 30MW di Sik, Kedah telah mencapai COD pada 1 Januari 2022. Bagi projek selebihnya, yang terletak di Danau Tok Uban, Kelantan (LSS2) dan Merchang, Terengganu (LSS3), pula masih lagi berjalan.
Sementara itu, pengujian dan pentauliahan bagi loji WTE 25MW di Ladang tanah Merah, Negeri Sembilan sudah berjalan sejak pertengahan November 2021 dan dijangka berakhir pada akhir suku pertama ini.
"Kami menganggarkan jana kuasa elektrik ini akan bermula pada April. Apabila mencapai COD, kami difahamkan, loji ini akan bersedia untuk beroperasi dengan kadar segera pada kapasiti optimum," jelasnya.
Bagaimanapun, Nur Farah Syifaa menyemak turun unjuran bagi FY22 sebanyak 11% setelah mengambil kira operasi bagi projek WTE dan LSS yang lebih lambat daripada jangkaan.
Bagi FY23 dan FY24 pula, katanya, hanya terdapat sedikit perubahan dan mengekalkan harga sasaran pada RM1.35.
"Kami percaya, Cypark diniagakan dengan nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang lebih rendah berbanding pemain industri yang lain.
"Ini berikutan ekoran langkah pengembangannya dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang telah melemahkan kedudukan kewangannya," katanya.
Beliau menjangkakan kedudukan imbangan tunainya akan kembali meningkat apabila projek WTE, LSS2 dan LSS3 mula beroperasi pada FY22 dan seterusnya. - DagangNews.com