Maybank IB unjur inflasi 2024 meningkat 3 peratus, kenaikan SST, pengurangan subsidi antara faktor | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur inflasi 2024 meningkat 3 peratus, kenaikan SST, pengurangan subsidi antara faktor

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Jan - Inflasi Malaysia diunjur meningkat kepada 3% pada tahun 2024, berbanding 2.5% tahun lalu susulan beberapa pengumuman kerajaan sebelum ini yang bakal memberi kesan langsung kepada perbelanjaan pengguna.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, ini terutama mengenai pelaksanaan subsidi bersasar bahan api petrol RON95 dan diesel, di samping kemungkinan pemansuhan kawalan harga ke atas telur ayam.

 

Selain itu, langkah-langkah lain yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 antaranya kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6% kepada 8% dan perluasan asas liputan SST yang merangkumi beberapa sektor termasuk logistik.

 

Turut dinaikkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 ialah duti eksais semasa bagi minuman bergula yang meningkat daripada 40 sen kepada 50 sen seliter di samping cukai ke atas produk tembakau kunyah.

 

"Kami mengekalkan unjuran kadar inflasi 2024 kepada 3.0% buat masa ini, bergantung kepada maklumat lanjut terperinci dalam Belanjawan 2024," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kata Maybank IB, pemansuhan subsidi sudah bermula dengan daging ayam sejak 1 November lalu. 

 

Sejak tahun 2022, kerajaan telah menanggung subsidi ayam dan telur kira-kira RM3.7 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar inflasi Malaysia kekal 1.5% pada Disember 2023 - DOSM

 

Sebagai tambahan, kata firma itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mengumumkan pelarasan kadar tarif air bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

 

Pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu yang dijangka menjejaskan 6.9 juta pengguna domestik, mewakili 86.6% daripada 7.9 juta pemegang akaun. 

 

"Kami menjangkakan kenaikan tarif air mempunyai kesan minimum terhadap inflasi kerana "bekalan air" mempunyai berat 0.9% dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP)," jelasnya.- DagangNews.com