KUALA LUMPUR 23 Feb - Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) membolot 13 anugerah The Asset Triple A yang terdiri daripada 12 Anugerah Negara, dan Anugerah Pasaran Modal Mampan (Bank Terbaik/Penasihat Terbaik) untuk Firma Pembrokeran Terbaik di Asia Pasifik.
Bagi Anugerah Negara, 8 daripadanya dimenangi oleh Maybank Investment Bank (Maybank IB), paling banyak di kalangan bank-bank Malaysia merangkumi Penasihat Korporat & Institusi - Domestik Terbaik; Penasihat Pinjaman Terbaik; Penasihat Bon - Domestik Terbaik dan Penasihat M&A Terbaik untuk penglibatan dalam tawaran urus niaga.
Maybank ATR Kim Eng dan Maybank Securities Thailand, masing-masing memenangi Pembrokeran Terbaik di Filipina dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IBG, Ami Moris berkata, dalam persekitaran pasaran yang mencabar, anugerah tersebut menekankan hasil yang mereka sampaikan untuk pelanggan.
"Di Thailand, kami kembali sebagai Pembrokeran Terbaik selepas 2019, manakala anugerah untuk Bon Mata Wang Tempatan Terbaik dan Pinjaman Bersindiket Terbaik masing-masing di Thailand dan Vietnam adalah yang pertama bagi kami.
"Hanya beberapa tahun yang lalu kami telah menubuhkan pasukan pasaran modal hutang di Thailand.
“Kemenangan untuk Firma Pembrokeran Terbaik di bawah Anugerah Pasaran Modal Mampan di Asia Pasifik mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pihak berkepentingan dalam melaksanakan mandat berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG mereka)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ami berkata, permintaan adalah kukuh untuk pembiayaan dan pelaburan mampan, dan pihaknya berada pada kedudukan yang baik untuk pelanggan di seluruh wilayah.
"Pasukan pakar kami seperti penasihat penstrukturan kemampanan dan penganalisis di lapangan menyediakan kepimpinan pemikiran melalui laporan dan Kompendium ESG dan acara marquee kami Invest ASEAN.
"Maybank IBG terus meningkatkan permainannya untuk menjadi bank pelaburan yang mengutamakan kemampanan terkemuka di rantau ini," katanya. - DagangNews.com