Maybank Islamic - COOKHOUSE tawarkan ruang dapur komersial untuk usahawan F&B | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic - COOKHOUSE tawarkan ruang dapur komersial untuk usahawan F&B

KOLABORASI dengan COOKHOUSE memberi peluang kepada pelanggan Maybank Islamic untuk memenuhi keperluan presmis perniagaan, dengan sewa bermula serendah RM900 sebulan. - Gambar hiasan oleh Jun Low
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Maybank Islamic Berhad menerusi kerjasama strategik dengan COOKHOUSE Malaysia menawarkan peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) untuk  mengakses dapur awan (cloud kitchen) yang komprehensif dan lengkap.

 

Kerjasama pertama seumpamanya antara bank dan penyedia dapur awan utama di Malaysia itu membolehkan PKS menyewa ruang dapur kelas komersial khusus dengan kemudahan canggih  dengan kos yang menjimatkan. 

 

Inisiatif ini bermanfaat bagi PKS yang telah beroperasi dari rumah, tetapi memiliki  perancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan mendapatkan sijil perakuan Halal. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, kerjasama dengan COOKHOUSE ini dilihat tepat pada masanya kerana semakin ramai pengusaha makanan cuba untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan cara lebih jimat dan berpusat pada model perniagaan  penghantaran. 

 

Mohamed Rafique Merican
Mohamed Rafique Merican

 

“Ini juga memperkuatkan usaha kami dalam segmen Halal dan ia selari dengan misi kami dalam menginsankan perkhidmatan kewangan dengan membantu PKS terutama pada masa-masa yang mencabar ini.

 

"Halal merupakan tanggungjawab rantaian bekalan pemilik perniagaan, tetapi kami di Maybank Islamic dapat mempermudahkan dan membantu proses mereka mendapatkan sijil Halal serta memberikan pembiayaan untuk memajukan lagi perniagaan demi pertumbuhan masa hadapan.

 

"Konsep inovatif ini adalah salah satu cara yang menjimatkan dalam mengembangkan perniagaan dengan cara yang strategik, fleksibel dan menguntungkan kerana ianya dapat mengurangkan kos pengoperasian yang tinggi seperti kos sewa atau  infrastruktur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kerjasama berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Maybank Islamic untuk memanfaatkan pasaran Halal yang kian berkembang dengan memupuk kesedaran tentang industri Halal sekali gus meningkatkan jumlah syarikat baharu yang diperakui Halal. 

 

Usahawan F&B dapat memanfaatkan kepakaran COOKHOUSE sebagai salah satu penyedia  dapur awan yang terkemuka di negara ini yang dapat membantu mereka dalam selok-belok  pengoperasian, menurunkan kos permulaan dan membantu mereka dalam kebolehpasaran produk dengan cara yang lebih efisien. 

 

Ini juga termasuk memberikan mereka penyelesaian yang lengkap seperti platform pesanan dalam talian, pembayaran tanpa tunai dan integrasi ke dalam perkhidmatan penghantaran makanan. 

 

Selain memanfaatkan peluang rangkaian, COOKHOUSE juga menyediakan peluang bagi PKS untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, memanfaatkan ruang penyimpanan yang lebih besar, memusatkan operasi dan akhirnya menyokong pertumbuhan perniagaan mereka. 

 

Kerjasama dengan COOKHOUSE ini bermula daripada sesi keterlibatan antara pihak bank dengan  pelanggan PKS Maybank Islamic terutama mereka yang menjalankan perniagaan F&B yang  beroperasi dari rumah dan ingin mengembangkan perniagaan serta mendapatkan sijil Halal. 

 

Salah satu garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan pensijilan Halal adalah setiap pengusaha perniagaan perlu mempunyai premis perniagaan untuk beroperasi. 

 

Oleh itu, kolaborasi dengan COOKHOUSE ini memberi peluang kepada pelanggan Maybank Islamic untuk memenuhi keperluan berkenaan, dengan sewa bermula serendah RM900 sebulan.

 

Pengasas COOKHOUSE Malaysia, Huen Su San berkata, dengan sokongan Maybank Islamic, pihaknya akan meneruskan usaha mereka untuk membina ruang berasaskan komuniti yang berkualiti bagi pengusaha dalam industri F&B  dengan memodenkan operasi perniagaan mereka sekaligus membantu mereka menerokai perubahan pesat dalam lanskap perniagaan digital. 

 

Huen Su San
Huen Su San

 

“Kerjasama dengan Maybank Islamic akan  membuka lebih banyak peluang dan membolehkan perniagaan F&B di Malaysia  memanfaatkan pertumbuhan di pasaran Halal di seluruh dunia,” katanya. - DagangNews.com