Maybank Islamic lancar penyelesaian pembiayaan portfolio patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic lancar penyelesaian pembiayaan portfolio patuh syariah

Maybank Islamic Berhad menjadi institusi perbankan Islam pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian pembiayaan portfolio patuh syariah./Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Jan - Maybank Islamic Berhad menjadi institusi perbankan Islam pertama di negara ini yang menawarkan penyelesaian pembiayaan portfolio patuh syariah.

 

Pelancaran penyelesaian pembiayaan tersebut menambah kepada pelbagai tawaran Maybank Islamic di bawah Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah (IWM).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, teras penyelesaian pengurusan kekayaan patuh syariah Maybank Islamic ialah elemen-elemen etika dan penciptaan nilai.

 

Menurut beliau, bagi tujuan ini, Maybank Islamic akan terus membangunkan penyelesaian baharu untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mengutamakan tawaran patuh syariah tanpa mengira kepercayaan agama mereka.

 

“Terdapat pertumbuhan yang stabil dalam pengurusan kekayaan patuh syariah Kumpulan Maybank dengan kadar pertumbuhan tahunan bagi Aset Di Bawah Pengurusan Islam (AUM) dari 12% pada 2021 kepada 22% pada 2022.

 

"Dengan pengenalan penyelesaian baharu ini, kami menyasarkan untuk mengembangkan lagi perniagaan IWM sebanyak 30% menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kumpulan Maybank telah melancarkan Pengurusan Kekayaan Syariah di Indonesia dan hab Pengurusan Kekayaan Islam Global di Singapura pada tahun lalu susulan permintaan yang semakin kukuh untuk pengurusan kekayaan patuh syariah.

 

islamic
Mohamed Rafique (dua dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Kumpulan Maybank termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairussaleh Ramli (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran penyelesaian pembiayaan portfolio syariah Sabtu lalu.

 

Kumpulan Maybank menguruskan kira-kira RM184.7 bilion aset di bawah pengurusan (AUM) yang mana 46% atau RM84.2 bilion disumbangkan daripada portfolio patuh syariah, akan terus membantu pelanggan di dalam pengurusan kekayaan untuk lebih eksklusif dan komprehensif berdasarkan matlamat kewangan dan profil risiko khusus para pelanggan.

 

Penasihat kewangan dan pakar pengurus kekayaan Kumpulan Maybank akan memainkan peranan untuk memberi bimbingan profesional, menawarkan pandangan berharga, analisis pasaran dan cadangan untuk membantu pelanggan membuat keputusan pelaburan termaklum.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk John Chong berkata, pengenalan Pembiayaan Portfolio Patuh Syariah bertujuan untuk mengembangkan lagi segmen pengurusan kekayaan Maybank.

 

Katanya, ini dengan memanfaatkan pelanggan sedia ada dan baharu dengan melabur semula aset yang dicagarkan mereka dan pada masa yang sama menyediakan penyelesaian perancangan kekayaan holistik jangka panjang melalui tawaran yang berbeza.

 

“Ini sejajar dengan aspirasi Maybank untuk menjadi bank terkemuka bagi penyelesaian pengurusan kekayaan di rantau ini dan selaras dengan teras strategik M25+ kami untuk menjadi peneraju global dalam perbankan Islam,” kata John.

Sempena pelancaran itu, Maybank turut mengadakan promosi Akaun Emas Islam Maybank Islamic bernilai RM500 buat pelanggan terpilih.

 - DagangNews.com