Maybank Islamic sasar keluarkan lebih 100,000 kad kredit mesra alam pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic sasar keluarkan lebih 100,000 kad kredit mesra alam pada 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Dis - Maybank Islamic menyasarkan untuk mengeluarkan lebih 100,000 kad kredit baharu pada 2023 yang mesra alam dan menampilkan elemen mampan.

 

Inisiatif itu sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk menerapkan kemampanan dalam semua operasinya untuk memacu perubahan ke arah dunia yang lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pengenalan kad itu adalah tepat pada masanya memandangkan kesedaran pelanggan semakin meningkat untuk penyelesaian yang lebih mesra alam, hijau dan mampan.

 

Katanya, Maybank Islamic komited untuk memastikan amalan ESG yang baik dalam perniagaannya di samping mewujudkan kesedaran dan mendidik pelanggan mengenai amalan mampan.

 

"Selaras dengan strategi M25+, kemampanan adalah keutamaan strategik bagi kami dan Maybank Islamic mahu menyokong pelanggan ke arah kemampanan.

 

"Kami memahami dan mengiktiraf perjalanan yang akan datang, justeru, kami komited untuk mencari cara dan penyelesaian baharu untuk mengurangkan jejak karbon kolektif melalui pengenalan kad kredit sumber bio baharu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kad kredit baharu itu akan tersedia untuk talian Amex, Mastercard dan Visa Ikhwan. Sempena pelancaran kad baharu itu, Maybank Islamic juga menganjurkan kempen 'Spend and Win' selama tiga bulan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2023.

 

Kempen itu memberi ganjaran kepada pemegang kad dengan 5x TreatsPoints untuk setiap RM1 yang dibelanjakan dengan 30 peniaga mesra alam dan perniagaan terpilih.

 

Senarai peniaga, yang kini meliputi pelbagai kategori termasuk membeli-belah runcit, pakaian, pengangkutan, hotel dan pembekal tenaga solar, dijangka berkembang dalam masa terdekat.

 

Melalui kempen itu, pemegang kad berpeluang memenangi hadiah utama berupa Honda City Hatchback 1.5L RS (hybrid) dan hadiah menarik lain seperti iPhone 14, baucer beli-belah dan pulangan wang tunai.

 

Ia dijangka menarik lebih 8,000 pemegang kad kredit baharu dengan 900 pemegang kad pertama akan menikmati baucer beli-belah bernilai RM150 dengan perbelanjaan minimum RM300 dalam tempoh 45 hari selepas kad diaktifkan. - DagangNews.com