Maybank tawar pilihan cuti sebulan gaji untuk warga kerja teruskan inisiatif kemampanan dan kesukarelawan | DagangNews Skip to main content

Maybank tawar pilihan cuti sebulan gaji untuk warga kerja teruskan inisiatif kemampanan dan kesukarelawan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Maybank menawarkan warga kerjanya pilihan cuti gaji sebulan setiap tahun untuk meneruskan inisiatif kemampanan dan kesukarelawanan jangka panjang.

 

Ia merupakan sebagai sebahagian daripada usaha bank untuk menggalakkan penglibatan meluas dalam aktiviti diterajui kemampanan dan menggalakkan pemikiran kemampanan dalam kalangan warga kerja Maybank.

 

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf berkata, warga Maybank telah menunjukkan semangat dan dedikasi yang kuat untuk kesukarelawanan selama ini. 

 

Beliay berkata, untuk terus menggalakkan dan memperkasakan warga kerja, dasar ini membenarkan mereka untuk menjadi sukarelawan di tempat, pilihan dan masa mereka sendiri. 

 

"Kami juga menawarkan pilihan cuti kemampanan berbayar sebulan untuk warga kerja yang ingin meneruskan inisiatif kesukarelawanan diluluskan oleh pejabat kemampanan kami.

 

"Terdapat juga pilihan 1+1, yang mana tambahan sebulan lagi boleh digunakan setelah mendapat kelulusan dalaman yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, Maybank komited untuk mencapai satu juta jam setahun bagi kemampanan dan menyampaikan seribu hasil penting berkaitan matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang 2025. 

 

 

maybank
                                                                  Datuk Nora Abd Manaf

 

 

Ini merupakan komitmen keempat Maybank sebagai sebahagian daripada cita-cita kemampanan jangka panjangnya selain tiga komitmen lain termasuk menggerakkan RM50 bilion dalam kewangan mampan menjelang 2025.

 

Komitmen lain, termasuk meningkatkan kehidupan satu juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025 dan mencapai kedudukan karbon neutral untuk pelepasan Skop 1 dan 2 menjelang 2030 serta kedudukan bersamaan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

Setakat 30 September 2022, warga Maybank telah melepasi sasaran tahunan dengan mencatatkan 1,086,560 jam kemampanan. 

 

Selain itu, kira-kira 56% daripada jumlah jam diluangkan untuk aktiviti yang menyumbang secara langsung kepada komitmen kemampanan jangka panjang kumpulan. 

 

Usaha utama yang dilaksanakan tahun ini ialah program penglibatan dan pengaktifan kakitangan yang dinamakan ‘Makmal Hijau’, yang dijalankan secara progresif di Maybank pada pelbagai perniagaan dan sektor di seluruh rantau. 

 

Sementara itu, hampir 43% daripada jumlah jam kemampanan datang daripada aktiviti dengan impak kemampanan tidak langsung. 

 

Pada 30 September 2022, ia telah menggerakkan RM14.9 bilion dalam kewangan mampan (berbanding sasaran TK2022 sebanyak RM9 bilion) dan menambah baik lebih 296,000 kehidupan di seluruh ASEAN (berbanding sasaran TK2022 sebanyak 150,000). 

 

Maybank juga telah mengurangkan 41.1% pelepasan Skop 1 dan 2 berbanding garis dasar 2019 berbanding sasaran TK2022 sebanyak 40%. - DagangNews.com