MBSB Bank Putrajaya ke Presint 4 tawarkan khidmat bank menyeluruh termasuk komersial | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank Putrajaya ke Presint 4 tawarkan khidmat bank menyeluruh termasuk komersial

Pengurus Cawangan, MBSB Bank Cawangan Putrajaya, Shaiful Aizad Ayub; Ketua Pegawai Pematuhan MBSB Bank, Tengku Khalizul Tengku Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef dan Ketua Jabatan Saluran Pengagihan Cawangan MBSB Bank Mohd. Izham Ahmad.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Dis – MBSB Bank Putrajaya telah berpindah ke lokasi baharu bertempat di Galleria PJH, Presint 4 pada 20 November 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, perpindahan itu bertujuan untuk memberi keselesaan dan perkhidmatan perbankan yang lebih baik kepada para pelanggan khususnya komuniti setempat.

 

"Sebelum ini MBSB Bank Putrajaya hanya menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan runcit, kini pelanggan komersial juga boleh mengunjungi cawangan ini yang turut menempatkan Pusat Perbankan Komersial Wilayah Tengah.

 

“Penubuhan Pusat Perbankan Komersial Wilayah Tengah merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memberi perkhidmatan perbankan secara terus kepada para pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti pembiayaan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi serta modal kerja,” ujar beliau lagi.

 

“Selain itu, pengusaha PKS juga boleh memohon Skim Jaminan Kerajaan (M-GGS) oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) yang menyediakan pembiayaan baharu, kemudahan pembiayaan sedia ada dan lanjutan tempoh pembiayaan, serta modal kerja tambahan bagi menggiatkan semula perniagaan mereka,” kata beliau pada majlis perasmian pembukaan MBSB Bank Putrajaya di Putrajaya hari ini.

 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Rafe Haneef; Ikhwan Hamzah Azizan, Pengurus Besar Kanan, Komersial Kumpulan, KLCC (Holdings) Sdn. Bhd., pihak pengurusan, kakitangan dan para pelanggan MBSB Bank.


 

mbsb
Rafe Haneef dan Datuk Nor Azam M. Taib pada majlis perasmian pejabat baharu MBSB Bank Putrajaya di Presint 4 pada 8 Disember 2023.

 


MBSB Bank juga menawarkan peluang kepada pemegang akaun Simpanan-i dan akaun Semasa-i PrimeWin untuk memenangi pelbagai hadiah lumayan antaranya kereta mewah jenama Porsche dan Mercedes-Benz, motorsikal berkuasa tinggi jenama Harley Davidson, wang tunai, barangan kemas, pakej percutian dan pelbagai hadiah lain melalui kempen 'SIMPAN BERGANDA MENANG BERGAYA 3.0' yang baharu dilancarkan pada 1 Disember 2023.

 

Di samping itu, MBSB Bank turut menganjurkan kempen Pembiayaan Peribadi-i X-Change 2023 Khas Umrah dan Percutian.

 

Kempen ini menawarkan pembiayaan fleksibel kepada para pelanggan yang ingin menunaikan ibadah umrah melalui pakej pembiayaan sehingga RM400,000 dengan tempoh maksimum sehingga 10 tahun. - DagangNews.com