KUALA LUMPUR 23 Nov - MCA hari ini mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan berikutan beliau tidak lagi layak memimpin parti tersebut, seterusnya digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Choong Sin Woon berkata, Ahmad Zahid dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN ekoran mengaku menghantar surat sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke Istana Negara.
"Ditegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat (letterhead) BN yang ditandatangani Ahmad Zahid, mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 22 November 2022.
"Sebaliknya, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini. Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih.
BACA JUGA: "Zahid hantar surat sokong Anwar ke Istana Negara" - Presiden MIC
"Surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. - DagangNews.com