MCE Holdings dijangka jana hasil RM19.6 juta selepas raih kontrak bekal komponen elektronik kepada EV baharu Perodua | DagangNews Skip to main content

MCE Holdings dijangka jana hasil RM19.6 juta selepas raih kontrak bekal komponen elektronik kepada EV baharu Perodua

MCE akan membekalkan komponen elektronik dan mekatronik bagi EV baharu Perodua - Gambar/Paultan.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - MCE Holdings Bhd dijangka menjana hasil sebanyak RM19.6 juta bagi tempoh tiga tahun selepas memperoleh kontrak pembekalan koponen elektronik dan mekatronik bagi kenderaan elektrik (EV) baharu Perodua.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi kontrak itu, kumpulan itu akan membekalkan pelbagai komponen termasuk unit paparan multimedia, kluster panel instrument, sistem bantuan pemadu termaju, suis fungsi dan pencahayaan dalaman.

 

"Pembekalan komponen ini dijangka akan bermula pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 untuk tempoh 36 bulan.

 

"Projek itu akan menghasilkan pendapatan sekitar RM19.6 juta bagi kumpulan sepanjang tempoh itu dengan anggaran kos pelaburan sebanyak RM12.8 juta," katanya.

 

Projek ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan MCE dalam tempoh 36 bulan bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026.

 

Tiada risiko ketara yang boleh diramalkan selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan projek. - DagangNews.com