Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) julung kalinya akan menganjurkan Sidang Kemuncak Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (SME Digital Summit) secara maya bermula 11 hingga 13 Ogos hadapan.
Sidang kemuncak berkenaan dijangka dapat memanfaatkan 100,000 peserta syarikat PKS yang terlibat untuk berubah ke arah transformasi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri memberitahu, anjuran itu adalah penting untuk mendorong PKS memanfaatkan peluang pasaran baharu menerusi transformasi digital.
“Lebih penting, mereka (PKS) berpeluang untuk menceburi peluang pasaran baharu dan memperoleh tawaran Ekonomi Internet ASEAN bernilai AS$300 bilion.
“Bagaimanapun, transformasi digital bukan satu-satunya prestasi yang perlu dicapai. MDEC bersedia untuk menyokong PKS dengan meningkatkan kemampuan mereka, mengembangkan pengetahuan dan panduan yang tinggi serta membantu mereka menerapkan penggunaan digital dengan lebih baik,” kata Surina dalam sebuah kenyataan.
SME Digital Summit menawarkan peserta dengan pelbagai perbincangan panel digital, persidangan, bengkel dan latihan yang dianjurkan dengan kerjasama 60 pihak yang lain.
Antara syarikat dan PKS tempatan yang dijangka terlibat adalah MAXIS, Digi, Amazon Web Services dan DELL Technologies.
Sidang kemuncak itu juga akan melancarkan kempen #SayaDigital Month oleh MDEC yang bertujuan memacu masyarakat digital.
Dalam sidang kemuncak sama, MDEC dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank SME akan memperkasa perniagaan digital PKS menerusi Geran Perniagaan Digital PKS (SBDG) bernilai sehingga RM5,000 untuk perkhidmatan digital.
Pendaftaran SME Digital Summit boleh dilakukan menerusi pautan www.smedigitalsummit.com. - DagangNews.com