ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Jan - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) akan membantu proses pengambilan tenaga kerja bagi syarikat di Sabah dan Sarawak.
Menurut laporan Petikan Bakat Digital Malaysia Suku 2, 2021, MDEC , lebih separuh daripada bakat digital di Malaysia tertumpu di Lembah Klang, berikutan peluang pekerjaan dan kemudahan fasiliti di dua negeri tersebut, sekali gus menyebabkan kekurangan bakat terlatih di negeri-negeri lain.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kekurangan bakat teknologi menjadi masalah besar kepada syarikat digital tempatan, terutama syarikat yang tidak beroperasi di Sabah dan Sarawak, di mana pertumbuhan mereka akan terhad disebabkan jurang kemahiran dan ketidakpadanan digital.
“Dalam usaha mewujudkan masyarakat digital yang inklusif, satu inisiatif merangkumi semua aspek perlu dibangunkan untuk memastikan adaptasi digital sampai kepada semua lapisan masyarakat serta membantu dalam pengagihan dan pertumbuhan ekonomi yang saksama.
“Melalui program MYWiT, kami berusaha untuk membantu rakyat meningkatkan kemahiran digital mereka, membolehkan akses kepada lebih banyak pekerjaan bergaji lumayan dan memudahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi pemacu ekonomi digital negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat yang berpusat di Kuching, Karuna (Sarawak) Enterprise Sdn. Bhd., menghadapi situasi kekurangan tenaga kerja ketika syarikat berkenaan bersedia untuk melabur dan mengembangkan perniagaan.
Karuna sebuah syarikat reka bentuk kreatif yang berpusat di Sarawak dan memiliki beberapa pejabat jualan yang beroperasi di Kuala Lumpur, Singapura dan Australia.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Karuna, Jonus Ko berkata, ketika ini syarikat berkenaan mempunyai tenaga kerja seramai 30 orang.
"Kami menghadapi kesukaran dalam mencari pekerja yang mempunyai set kemahiran khusus yang penting untuk barisan perniagaan kami, termasuk mahir dalam bahasa pengekodan seperti React Native, React JS, Next.js dan Flutter," katanya.
Beliau berkata, ketika ini syarikat teknologi bersaing menggaji tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang padan dengan keperluan asas perniagaan mereka, kerana bahasa pengekodan seperti ini mendapat permintaan tinggi, tetapi tidak ramai berjaya menguasainya.
“Kami telah cuba mencari pekerja melalui iklan dalam talian atau media cetak, pemasaran word of mouth dan juga mendapatkan khidmat agensi pekerjaan untuk mencari individu tempatan di Sarawak dan seluruh Malaysia.
"Kami juga menggunakan perkhidmatan teknikal luar negara secara kontrak untuk projek kami, tetapi penyelesaian ini amat mahal dan tidak mampan untuk jangka masa panjang," katanya.
Jonus berkata, dengan memohon insentif MYWiT, Karuna berjaya menangani isu pengambilan tenaga kerja digital melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang disyorkan MYWiT.
Diperkenalkan di bawah Kumpulan Wang COVID-19, program subsidi tersebut melibatkan dana sebanyak RM100 juta daripada Kementerian Kewangan untuk menyokong Gerakan #MyDigitalWorkforce MDEC.
Ia bertujuan untuk memberi insentif kepada majikan untuk mengambil warga Malaysia yang menganggur melalui latihan dan subsidi gaji.
Faedah insentif ini juga dikongsi bersama dengan pengambilan baharu Karuna, Goh Wei Ying.
Beliau adalah graduan baharu sains komputer dari cawangan antarabangsa Swinburne University of Technology Melbourne, Australia di Sarawak.
Goh berkata, dia tidak mempunyai banyak pengalaman bekerja dalam bidang berkaitan IT, kecuali menjadi pelatih di sebuah syarikat hartanah.
"Selepas menamatkan pengajian, saya mula mencari pekerjaan berkaitan IT di pelbagai platform pencarian kerja.
“Saya dapati tiada banyak pilihan pekerjaan kerana kebanyakan lokasinya bukan di Kuching atau mengharapkan calon berpengalaman. Selain itu, kekurangan keperluan teknikal tertentu yang dinyatakan syarikat pekerja juga menghadkan lagi pilihan yang ada,” katanya.
Selepas berjaya melepasi temu duga dengan Karuna, Goh diperkenalkan dengan program MYWiT yang membolehkannya mendapat pekerjaan sekurang-kurangnya selama 12 bulan, serta menimba lebih banyak pengalaman dan pengetahuan.
Insentif MYWiT banyak membantu Karuna dalam mendapatkan bakat baharu yang boleh dikembangkan dan dibangunkan oleh syarikat melalui peningkatan kemahiran teknologi yang dicari dan kemahiran digital yang ditetapkan oleh industri.
Untuk memohon insentif MYWiT, sila layari https://mdec.my/mywit/. - DagangNews.com