MDEC bekerjasama dengan CEDAR sedia bantuan pendigitalan untuk PKS  | DagangNews Skip to main content

MDEC bekerjasama dengan CEDAR sedia bantuan pendigitalan untuk PKS 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz

 

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama dengan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerapkaan penggunaan digital.

 

CEDAR, anak syarikat SME Bank telah dilantik sebagai rakan kongsi bagi Program Pemacu Digital PKS MDEC, yang mana ia bermatlamat melatih 1,000 perniagaan dan memadankan PKS dengan penyelesaian digital bersesuaian dan kemudahan insentif jika diperlukan.

 

Program transformasi perniagaan ini menyediakan PKS dengan pendekatan berstruktur untuk mereka memulakan pengadaptasian digital dan memastikan pelaksanaannya dengan pencapaian berdasarkan hasil.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, PKS terkesan teruk disebabkan pandemik dan mereka perlu melihat semula pelbagai aspek dalam perniagaan mereka merentasi pemasaran digital. 

 

Dalam hal ini, katanya, operasi perlu dioptimumkan dan teknologi digital merupakan pendorong utama. 

 

"Banyak PKS masih tidak menyedari tentang bagaimana untuk memulakan pengadaptasian digital, justeru, Program Pemacu Digital PKS berperanan membantu mereka mengatasi halangan dalam mengadaptasi digital dan melonjakkan lagi perniagaan mereka selaras dengan usaha kita untuk bergerak ke arah pemulihan ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

PKS yang layak dan berdaftar akan menyertai bengkel latihan maya selama 3 hari dan mereka akan didedahkan kepada modul ‘Lean Model Canvas’ dan ‘Design Thinking’, selain teknologi padanan dengan pilihan lebih 400 Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSPs). 

 

Matlamat program ini ialah untuk membantu PKS meningkatkan pendapatan, mengurangkan jam kerja atau mengurangkan masa proses pusingan. 

 

CEDAR akan menyediakan platform diagnostik baharu dan menarik kepada PKS untuk mengenal pasti penyelesaian terbaik untuk mereka, sama ada keperluan kewangan, teknologi atau perniagaan. 

 

Platform ini dikenali sebagai Enterprise Lifecycle Scoring Assessment atau ELSA yang dibangunkan secara bersama dengan Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC). 

 

Ia berperanan menghasilkan laporan kepada setiap PKS yang akan menamatkan program ini, meliputi bahagian penambahbaikan dalam keseluruhan operasi perniagaan dan jangka hayat perniagaan. 

 

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, inisiatif bersama MDEC ini dapat membantu PKS memasuki persekitaran digital seperti yang diharapkan oleh kerajaan dan turut melibatkan lebih 400 TSPs termasuk rakan kongsi seperti Unifi dan TM ONE.

 

"Alat ELSA dan pembangunan latihan kami turut menyediakan peluang ini kepada PKS, di mana laporan yang dijana oleh ELSA akan membantu PKS mengenal pasti bahagian yang memerlukan penambahbaikan oleh mereka," jelasnya.

 

Kemudahan untuk PKS mengadaptasi penyelesaian digital termasuklah Geran Pendigitalan PKS yang diumumkan oleh kerajaan bersama dengan Dana Transformasi Teknologi PKS (SFTF) yang dibiayai oleh SME Bank.

 

Kemudahan lain yang disediakan oleh CEDAR termasuklah ScoreXcess, iaitu platform yang membolehkan usahawan memohon pembiayaan perniagaan secara dalam talian, merangkumi pelbagai agensi pembiayaan atau institusi secara serentak menerusi satu aplikasi sahaja. - DagangNews.com