MDEC, CGC Digital, PayNet rapatkan jurang pembiayaan PMKS menerusi pemarkahan kredit alternatif | DagangNews Skip to main content

MDEC, CGC Digital, PayNet rapatkan jurang pembiayaan PMKS menerusi pemarkahan kredit alternatif

Kerjasama MDEC, CGC Digital dan PayNet ini menandakan komitmen kolektif untuk menangani jurang pembiayaan PMKS sebanyak RM90 bilion, yang merupakan masalah utama negara.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), CGC Digital Sdn Bhd (CGC Digital) dan Payments Network Malaysia (PayNet) menandatangani perjanjian kerjasama bagi merapatkan jurang pembiayaan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia menerusi rumusan perintis pemarkahan kredit alternatif.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MDEC berkata kerjasama tiga pihak ini menandakan komitmen kolektif untuk menangani jurang pembiayaan PMKS sebanyak RM90 bilion, yang merupakan masalah utama negara.

 

MDEC berkata alat digital tersebut akan merapatkan jurang pembiayaan ini, yang dijalankan oleh CGC Digital kerana ia meneroka kemungkinan data alternatif untuk memudahkan pembangunan model Pemarkahan Kredit Alternatifnya.

 

Di bawah kerjasama ini, CGC Digital menjadi peneraju dalam menyediakan jaminan digital yang dibangunkan untuk CGC, MDEC menghubungkan penggiat fintech dan memperjuangkan dasar dan PayNet dalam penggunaan data pembayarannya.

 

PayNet sebagai rangkaian pembayaran nasional selama ini telah mengumpulkan data yang besar melalui rangkaian produknya, iaitu DuitNow, JomPAY dan FPX. PMKS yang tidak berdaftar SSM tetapi mungkin mempunyai pendaftaran di bawah majlis tempatan boleh mempunyai data transaksi dalam mana-mana data ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin berkata kerjasama terbabit telah mengenal pasti syarikat fintech yang berpotensi untuk memulakan inisiatif bukti konsep bagi memastikan keberkesanan dan daya maju model Pemarkahan Kredit Alternatif.

 

“Inisiatif ini menyasarkan untuk memperkasa PMKS dan merapatkan jurang pembiayaan dengan mendemokrasikan akses kepada jaminan kredit dan perkhidmatan kewangan dalam memajukan keterangkuman kewangan," tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD) dan rangkaian program PeMangkinMD dinamik bermatlamat untuk mengubah keupayaan digital negara, memupuk pertumbuhan syarikat teknologi dan meningkatkan ekonomi digital.

 

“Kami optimis dapat memudahkan lebih banyak kerjasama antara institusi kewangan, syarikat fintech dan rakan kongsi ekosistem berkaitan, dengan matlamat bersama untuk merevolusikan kaedah penilaian kredit yang akan menjadi pengubah permainan bagi sektor kewangan,” katanya.

 

MDEC berkata kerjasama ini dijangka mencetus idea untuk mempromosi dan menskalakan lebih banyak projek perintis menggunakan data Pemarkahan Kredit Alternatif.  - DagangNews.com