Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan Geran Pemangkin 4IR (4ICG) untuk menyokong pengembangan syarikat teknologi yang berpusat di Malaysia.
Ketua Pegawai Industri Digital, MDEC, Gopi Ganesalingam berkata, 4ICG direka untuk memangkinkan penggunaan dan pembangunan teknologi 4IR menjadi bidang perniagaan utama seperti yang termaktub di dalam Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR). Geran berkenaan akan digunakan untuk penciptaan bersama, penyelesai masalah dan pengkomersilan penyelesaian 4IR sahaja.
Ujarnya, penerima tempatan yang berjaya akan dianugerahkan sehingga 50% daripada kos projek, tertakluk kepada had siling RM2 juta atau mana lebih rendah manakala syarikat milik asing terpilih akan dianugerahkan sehingga 30% daripada kos projek, tertakluk kepada had siling RM2 juta atau mana lebih rendah.
"Penerima geran juga akan menyertai program GAIN MDEC dan akan menerima manfaat daripada segi akses pasaran, padanan perniagaan, fasiliti pembiayaan dan peluang mentor serta mendapat keuntungan daripada peningkatan pendapatan dan eksport, peningkatan kemahiran dan meningkatkan peluang untuk menerima pelaburan.
“Kami memperkenalkan 4ICG untuk meningkatkan produktiviti, kualiti produk, meningkatkan kualiti kehidupan dan memelihara ekologi integriti dalam 10 sektor ekonomi utama dan enam sektor sokongan kepada ekonomi Malaysia seperti yang termaktub di Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 nasional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, geran tersebut dijangka meningkatkan kebolehlihatan syarikat teknologi yang berpusat di Malaysia dan pertumbuhan pendapatan serta eksport daripada syarikat teknologi 4IR yang berpusat di Malaysia.
Menurutnya, ia merupakan tambahan kepada usaha mencapai matlamat dalam Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), untuk mentransformasikan negara ke arah dipacu-digital, negara berpendapatan tinggi dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.
"Sektor utama yang dikenal pasti untuk penerimaan geran ini ialah dagangan borong dan runcit, pengangkutan dan logistik, pelancongan, kewangan dan insurans, kesihatan, pertanian dan pendidikan.
,Sektor sokongan pula merangkumi pembinaan, hartanah, perlombongan dan kuari, perkhidmatan maklumat dan komunikasi, kesenian, hiburan dan pentadbiran serta perkhidmatan sokongan," katanya.
Geran ini menyasarkan sehingga 20 pemohon dengan jangka masa pembiayaan untuk tempoh masa projek sehingga setahun.
Tarikh tutup permohonan ialah pada November dengan proses penilaian dan kelulusan akan dibuat pada Disember.-DagangNews.com