#MDEC4Good tawar 4 inisiatif bantu masyarakat terkesan akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

#MDEC4Good tawar 4 inisiatif bantu masyarakat terkesan akibat COVID-19

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangenews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan empat inisiatif bantuan melalui program #MDEC4Good di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya.

 

Program CSR itu bertujuan untuk membantu masyarakat setempat yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

 

Berikut adalah inisiatif yang disediakan;

1) Kempen Food Bank

  • Kempen Food Bank telah mengagihkan bakul makanan kepada lebih 300 keluarga di beberapa penempatan yang memerlukan bantuan.
  • Ini termasuk 255 keluarga di Desa Temuan, 17 keluarga di Kg Selayang dan 35 keluarga lain di Lembah Klang.
  • Keluarga-keluarga itu telah dikenalpasti dengan kerjasama Exabytes menerusi inisiatif perkongsian makanan, FoodBank Digital mereka. 
  • Barangan keperluan asas telah disumbangkan secara terus kepada keluarga yang terlibat oleh Exabytes, MYKampung Fresh Mart dan pasukan sukarelawan MDEC. 


 

2) Pengaktifan Digital

  • Ibu bapa yang kurang berkemampuan agak mustahil untuk menyediakan peranti seperti komputer riba dan peralatan pembelajaran untuk anak-anak.
  • MDEC telah bekerjasama dengan Rentwise dan SNS Network, menyumbang komputer riba yang dilengkapi 20 pautan e-pembelajaran kepada 250 pelajar dari peringkat tadika, sekolah rendah dan menengah. 
  • Rentwise telah menyediakan 20 komputer riba terpakai manakala SNS Network pula menyumbang 30 komputer riba baharu kepada tujuh buah sekolah.
  • Komputer riba tersebut telah dihantar oleh Bungkusit, salah satu rakan dalam platform Perkongsian Ekonomi MDEC sejak tahun 2018, dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran segera dan bantuan peribadi. 

 

 

3) Digital AgTech 

  • Dalam fasa CSR seterusnya, MDEC menerusi inisiatif Digital AgTech dan Gerakan #SayaDigital akan memulakan projek rintis pertanian bandar yang dikuasakan oleh Urban Farm Tech Sdn. Bhd. (rakan AgTech) untuk memangkinkan penggunaan digital dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di Desa Temuan. 
  • Projek ini akan berlangsung sehingga September 2021, dengan menyaksikan pelaksanaan teknologi 4IR seperti sistem kawalan automasi parameter kritikal, hab sensor pelbagai guna, aplikasi mudah alih/platform yang menggunapakai data dan banyak lagi, di samping latihan AgTech yang akan meningkatkan kemahiran digital kepada lebih 50 peserta program. 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, impak sosial dan ekonomi yang hadir bersama krisis kesihatan akibat wabak telah menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa, apatah lagi kehidupan masyarakat yang banyak terkesan olehnya.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

"Walaupun krisis ini bersifat global, namun ia sangat memberi impak mendalam kepada ahli masyarakat, terutama yang berada dalam kumpulan rentan. Inilah masanya untuk kita saling membantu dan menjaga sesama kita.

 

"Menerusi kempen #MDEC4Good, kami di MDEC dapat menyumbang bantuan yang praktikal, peralatan dan latihan yang diperlukan oleh mereka agar dapat bertahan ketika pandemik. 

 

"MDEC sangat komited untuk memperluaskan aktiviti CSR kami menerusi program #MDEC4Good, dan diharapkan ia akan memberikan impak yang positif kepada masyarakat kita yang terkesan olehnya," tambah beliau.

 

#MDEC4Good juga turut menyumbang kepada;

  • Menyerahkan bantuan kewangan kepada 21 OKU kurang penglihatan yang kebanyakkannya tinggal di Lembah Klang, di mana kehidupan mereka amat terkesan akibat pandemik dan memerlukan bantuan keperluan asas di rumah mereka.
  • Menghulurkan bantuan kewangan kepada Pertubuhan Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Shan Dai Selangor untuk membantu kelangsungan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan tempat berteduh. Dahulu pusat tersebut kerap menerima pelawat dan penyumbang, namun kini mereka bergelut untuk mendapatkan dana dan derma, menerusi bantuan yang disumbangkan oleh MDEC, sedikit-sebanyak dapat meneruskan usaha yang sangat bermakna mereka ini kepada masyarakat. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung, Keselamatan Orang Asli (JPKKOA), Kg Orang Asli Desa Temuan, Mohd Nizar Mohd Shahbi berkata, pihaknya sangat bersyukur di atas bantuan yang diberikan menerusi program #MDEC4Good yang dapat membantu masyarakat dan keluarga untuk terus bertahan ketika pandemik ini. - DagangNews.com