MEDAC minta universiti kaji caj tambahan kiriman bungkusan Skip to main content

MEDAC minta universiti kaji caj tambahan kiriman bungkusan

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) meminta pihak universiti untuk mengkaji caj tambahan yang dikenakan ke atas kiriman bungkusan dialamatkan ke institusi pendidikan itu. 

 

Caj yang dikenakan itu akan membebankan pembeli dalam kalangan pelajar kerana mereka perlu membayar kos berganda untuk mendapatkan kiriman bungkusan daripada pembeli, tegas Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. 

 

“Sudahlah perlu mengeluarkan duit pengangkutan untuk ke bangunan pentadbiran. Kemudian perlu mengeluarkan duit untuk caj tambahan ini.

 

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin

 

“Saya di MEDAC melihat perkara ini sebagai satu yang merugikan dalam ekosistem keusahawanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Tular di laman media sosial Twitter mengenai kenyataan pihak universiti yang mengenakan caj ke atas kiriman bungkusan yang dialamatkan ke universiti.

 

Ciapan itu turut mendapat reaksi hebat daripada pengguna platform tersebut.

 

Tambah Mas Ermieyati, ketika pandemik COVID-19 ini, penjual amat bergantung kepada pembeli dalam talian.

 

Susulan itu, beliau khuatir jika perkara berkenaan berterusan akan memberi kesan kepada jualan usahawan di mana pembeli dalam kalangan pelajar yang menetap sementara di universiti tidak lagi membeli barangan dalam talian pada masa hadapan.

 

“Saya harap pihak pentadbiran universiti yang terlibat melihat perkara ini sebagai satu usaha bersama dalam membantu kerajaan meningkatkan ekonomi usahawan sekaligus membantu mereka bertahan dalam keadaan getir hari ini,” katanya lagi. - DagangNews.com