KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung bersih Media Prima Bhd. susut kepada RM7.16 juta bagi suku berakhir 30 September 2022 berbanding RM7.63 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan lebih rendah pada RM237.16 juta daripada RM257.31 juta.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, pendapatannya susut kepada kepada RM745.2 juta daripada RM804.29 juta manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM29 juta daripada RM26.29 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Hasil pengiklanan kumpulan kekal stabil dengan peningkatan sebanyak 7% berbanding tempoh sebelumnya yang dipacu oleh anak syarikat penyelesaian pemasaran, Media Prima Omnia.
Perbelanjaan operasi yang lebih rendah dalam tempoh tersebut dapat menampung hasil yang lebih rendah, menyebabkan keuntungan selepas cukai kumpulan mencatatkan peningkatan sebanyak 15% berbanding tempoh perbandingan.
Mengenai prospek kumpulan, Media Prima berkata, kumpulan kekal berhati-hati dengan keseluruhan prospek 2022 walaupun petunjuk prestasi ekonomi yang lebih kukuh untuk Malaysia dikeluarkan beberapa minggu lalu.
Katanya, dengan memanfaatkan kekuatan Omnia sejak penubuhannya pada 2020, kumpulan akan terus menawarkan penyelesaian pemasaran yang inovatif untuk pengiklan di seluruh platform media dan jenamanya yang meluas.
"Jualan kandungan telah menyaksikan prestasi yang lebih kukuh tahun ini dan kumpulan akan terus melabur dalam cadangan kandungan yang menarik untuk membolehkan bekalan kandungan berkualiti berterusan ke pasaran.
"Kumpulan bagaimanapun akan terus berwaspada dan akan terus memantau keadaan perniagaan sambil menguruskan kecekapan operasinya secara berhemat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi," katanya. -DagangNews.com