Membangun Masyarakat Madani Dengan Wacana Ilmu | DagangNews Skip to main content

Membangun Masyarakat Madani Dengan Wacana Ilmu

Oleh Md. Asham Ahmad, Felo Kanan IKIM

SEKALI lagi istilah ‘madani’ telah diangkat dan diwacanakan pada peringkat tertinggi dalam negara kita. Dengan hasrat mengemblengkan seluruh rakyat ke arah perubahan besar-besaran slogan ‘masyarakat madani’ telah diutarakan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Setiap perubahan mesti bermula dengan perubahan dalam akal fikiran. Dan oleh kerana setiap bahan fikiran itu ‘diikat’ atau ‘ditandakan’ dengan bahasa, maka timbullah perbahasan tentang makna atau maksud sesuatu perkataan.

 

Dalam mana-mana wacana ilmiah sekalipun, adalah menjadi tanggungjawab pencadang mentakrifkan maksud istilah yang digunakan kerana hanya dengan takrifan yang jelas dan sah sahaja sesuatu istilah itu dapat diwacanakan.


 

parafrasa

 


Kita perlu mengamati satu penjelasan penting yang telah dibuat oleh PM apabila beliau mengaitkan istilah ‘madani’ itu dengan ‘Madinah’ dan ‘tamadun’. Penjelasan ini telah dinyatakan lama dahulu oleh Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang merupakan guru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Maka istilah ‘madani’ itu telah digunakan dalam rangka pembinaan tamadun ataupun peradaban di mana nilai-nilai akhlak yang luhur itu menjadi terasnya.

 

‘Madani’ dikaitkan dengan ‘Madinah’ kerana nama ‘Madinah’ itu melambangkan masyarakat yang berakhlak luhur yang menjadi penanda aras kepada maju-mundurnya masyarakat yang datang selepas itu.


 

asham
                           Md. ASHAM AHMAD

 


Sekiranya kita gali dengan lebih mendalam kita akan dapati bahawa ‘Madinah’ membawa erti suatu tempat di mana agama yang benar (iaitu Islam) bertapak dan menguasai hati dan sanubari seluruh warganya.

 

Dengan kata lain, perubahan, pembangunan dan kemajuan yang dihasratkan itu tidak dipisahkan dari pertimbangan akhlak dan budipekerti yang merupakan asas setiap tradisi keagamaan, terutama sekali Islam.

 

Penjelasan ini penting kerana banyak kekeliruan telah ditimbulkan perihal peranan agama dalam kehidupan masyarakat moden. Adakah agama masih relevan dalam membangunkan dasar-dasar negara?

 

Jawapan PM kita jelas: ya! Dan jawapan ini tidak sepatutnya mendatangkan kebimbangan kepada golongan yang disifatkan orang atau pun yang menyifatkan diri sendiri sebagai ‘sekular’.

 

Sejak sekian lama faham sekularisme itu telah menanamkan rasa kebencian terhadap agama yang dianggap sebagai punca kemunduran, perpecahan dan permusuhan. Maka agama telah disekat dari mencampuri urusan negara dan masyarakat dan dibataskan peranannya kepada kepercayaan peribadi semata-mata.

 

Justeru, tidak tepat dakwaan bahawa golongan sekular itu semuanya anti agama. Bukan semuanya memusuhi agama dan mahu menghapuskannya, sebaliknya mereka hanya mahu mengawalnya supaya tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

 

Mungkin ada yang bertanya: kenapa mereka bersikap sedemikian? Jawapannya terletak pada pengalaman yang pernah dilalui oleh bangsa-bangsa Eropah beragamakan agama Kristian. Pengalaman itulah yang menimbulkan trauma terhadap agama sehingga hari ini.


 

parafrasa

 


Ternyata, dari pengalaman sejarah, agama telah mengingatkan mereka kepada zaman kegelapan dan kejahilan, kepercayaan karut dan tahyul, anti sains, kekejaman dan penindasan atas nama agama, peperangan yang berpanjangan akibat ketaksuban.

 

Akan tetapi harus diingat bahawa ‘agama’ yang mereka maksudkan itu adalah agama dalam pengalaman orang Eropah, iaitu agama Kristian dan pensekularan ataupun sekularisasi adalah akibat dari pengalaman itu.

 

Masalahnya apabila pengalaman itu dikatakan bersifat universal, iaitu ia pasti dialami oleh semua masyarakat sebagai suatu fasa dalam sejarah perkembangan masyarakat. Maka sekularisasi pada hemat orang Barat adalah merupakan nasib sejarah yang tidak dapat dielakkan.

 

Pandangan inilah yang telah diwarisi oleh para pendokong tegar ideologi sekular.

 

Pengenalan semula istilah ‘madani’ secara tidak langsung memberi peluang untuk membetulkan semula tanggapan terhadap agama yang sangat jauh tersasar dari kebenaran. Dan kita harus bermula dengan menafikan kepercayaan bahawa semua bangsa di dunia ini mengalami nasib sejarah yang sama.

 

Islam, secara khusus, menafikan kepercayaan bahawa proses sejarah itu adalah tidak lain dari proses pensekularan dan nasib yang menimpa Kebudayaan Barat itu tidak semestinya akan turut menimpa Kaum Muslimin.


 

parafrasa

 


Pada dasarnya Islam tidak menganjurkan pemisahan dan percanggahan antara yang kudus dengan yang nista. Tidak seperti yang difahami Barat, Islam tidak menganggap dunia itu sebagai tempat yang keji dan nista, manakala akhirat itu pula suci ataupun kudus.

 

Apa yang dianjurkan oleh Islam adalah dunia itu adalah tempat yang wajib dilalui dalam perjalanan menuju kehidupan abadi di akhirat. Justeru, tiada pemisahan dunia dari akhirat, bahkan kebahagiaan akhirat itu bergantung kepada bagaimana seseorang itu menjalani hidupnya di dunoa ini.

 

Sekiranya persoalan ini benar-benar difahami maka tidak sepatutnya timbul persoalan adakah Malaysia negara Islam ataupun tidak. Persoalan ini timbul kerana konsep ‘agama’ yang dikenakan kepada Islam itu adalah merupakan konsep asing yang diseludup masuk dan disebarkan sebagai suatu dogma.

 

Wacana yang terhasil dari pengenalan konsep madani ini diharap akan membuka ruang kepada perbahasan secara kritis, ilmiah, matang dan terbuka terhadap konsep-konsep utama yang  menjadi teras kepada sesuatu pandangan alam.


 

parafrasa

 


Sehubungan dengan itu, konsep-konsep yang beradal dari Barat yang selama ini diterima secara pasif tanpa menilai benar-salahnya dan kesesuaiannya dengan kerangka fikiran yang kita mahukan, hendaklah diperiksa dan dikaji oleh mereka yang benar-benar berwibawa.

 

Perdana Menteri telah memulakan langkah ke arah itu dan terserahlah kepada kita untuk menyambutnya. - DagangNews.com

 

Md. Asham bin Ahmad merupakan Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia