Memperkasakan masyarakat bagi menyokong Industri Minyak Sawit Malaysia | DagangNews Skip to main content

Memperkasakan masyarakat bagi menyokong Industri Minyak Sawit Malaysia

Ladang kelapa sawit di Ijok, Selangor. - Gambar DagangNews
Oleh Neow Choo Seong

SAYA sentiasa percaya bahawa keputusan kolektif boleh memberi pengaruh yang besar dalam perjalanan pembangunan negara kita.

 

Sebagai seorang anak muda Malaysia, yang sangat prihatin dalam kebajikan dan kemakmuran negara kita, saya mendapati diri saya terdorong untuk mengulas satu perkara yang penting kepada landskap ekonomi Malaysia iaitu industri minyak sawit.

 

Baru-baru ini, saya berpeluang bersama beberapa rakan senegara mengikuti soal selidik yang sangat komprehensif, yang menyelidiki kerumitan yang dialami industri minyak sawit disamping usaha untuk membetulkan persepsi mengenai minyak sawit.

 

Industri minyak sawit berdiri sebagai batu asas kepada kejayaan ekonomi Malaysia, menyumbang secara signifikan kepada KDNK negara kita dan menyokong kehidupan berjuta-juta individu. Sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia, industri ini menyumbang hampir 38% daripada keluaran pertanian kita dan menyumbang 3% kepada KDNK pada 2020, menunjukkan betapa pentingnya minyak sawit kepada ekonomi kita.

 

Di sebalik faedah kepada ekonomi, industri ini memainkan peranan penting dalam memupuk pembangunan sosio-ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar. Ia bukan sekadar komoditi, ia adalah nadi masyarakat di seluruh negara kita.


 

parafrasa

 


Tinjauan minyak sawit tersebut sangat menarik kerana melibatkan semua lapisan rakyat Malaysia yang sudah tentu memberikan satu pengalaman yang mengujakan. Jelas, keterlibatan yang membina dan pendekatan penyaluran maklumat berhubung dengan minyak sawit Malaysia telah mendorong sokongan meluas pada industri ini dari kalangan rakyat kita.

 

Bagaimanapun, industri minyak sawit tidak terlepas dari cabaran dan kritikan daripada pihak tertentu dan ia bukanlah sesuatu pekara yang asing. Walau bagaimanapun, adalah penting bagi kita, sebagai rakyat Malaysia, untuk menjadi penyokong yang berpengetahuan luas kepada pihak industri yang telah memainkan peranan penting dalam kemajuan dan kejayaan negara kita.

 

Negara kita telah menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam memastikan pengeluaran minyak sawit mematuhi piawaian alam sekitar dan sosial seperti yang dibuktikan melalui adaptasi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

 

Apabila bercakap mengenai penebangan hutan, laporan oleh Global Forest Watch pada Jun 2023 mencatatkan pengurangan mendadak dalam kehilangan hutan di Malaysia, menunjukkan bahawa membalikkan arah aliran penebangan hutan boleh dicapai.

 

Syarikat sawit di Malaysia dan Indonesia nampaknya telah berjaya menunjukkan komitment 'Tiada Penebangan Hutan, Gambut dan Eksploitasi (NDPE)' dengan 83% daripada kapasiti penapisan minyak sawit kini beroperasi di bawah NDPE.

 

Usaha positif Kerajaan juga telah diteruskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini antaranya had kawasan ladang yang dilaksanakan pada 2019 sehingga 2023, dan undang-undang perhutanan baharu yang digubal pada 2022 untuk mengetatkan hukuman bagi pembalakan haram. Kelestarian bukan sekadar perkataan; ia adalah komitmen yang telah diambil serius oleh Malaysia, dan akan terus dipegang.

 

 

Neow Choo Seong

 

Neow Choo Seong
Neow Choo Seong bertemu orang ramai bagi menyampaikan mesej menyokong industri sawit negara, baru ini. 


 


Dalam kita menuju ke hadapan, saya menyeru anak muda Malaysia untuk lebih proaktif dalam mempelajari mengenai industri minyak sawit dan sumbangan positif yang telah diberikan kepada negara kita dengan mengambil bahagian dalam kaji selidik ini. Bekalkan diri anda dengan pengetahuan, bukan sahaja tentang faedah ekonominya tetapi juga tentang amalan mampan yang dilaksanakan oleh negara kita.

 

Sokongan kita untuk industri minyak sawit bukan sekadar hanya untuk manfaat ekonomi; ia adalah bukti perpaduan dan kekuatan kita sebagai sebuah negara. Marilah kita berdiri bersama, muda dan tua, bandar dan luar bandar, dalam menyokong industri yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara serta kebajikan masyarakat kita.

 

Dengan sokongan terhadap industri minyak sawit tempatan, kita dapat memastikan kejayaan ekonomi yang berterusan dan kesejahteraan mereka yang bergantung pendapatan darinya, terutamanya pekebun kecil sawit. - DagangNews.com

 

Neow Choo Seong adalah Ketua Penerangan Pemuda MCA