Mencari Harta Karun Kereta Elektrik diadakan sempena Hari Alam Sekitar 2020 | DagangNews Skip to main content

Mencari Harta Karun Kereta Elektrik diadakan sempena Hari Alam Sekitar 2020

Green Tech Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pertandingan mencari harta karun atau Treasure Hunt dengan menggunakan kereta elektrik adalah antara tarikan utama bersempena sambutan Hari Alam Sekitar 2020 yang bakal berlangsung pada 24 Oktober nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology And Climate Change Centre (MGTC), Shamsul Bahar Mohd. Nor berkata, pertandingan tersebut adalah antara program yang telah disusun bagi merancakkan lagi sambutan berkenaan di samping menyuntik kesedaran alam sekitar kepada masyarakat awam.

"Kami jalankan banyak program untuk Hari Alam Sekitar 2020, antaranya ialah pertandingan Treasure Hunt di sekitar Kuala Lumpur. Tujuannya untuk tunjukkan teknologi kereta elektrik ini sebagai kenderaan masa hadapan.

"Kami juga ada program kepada kenderaan yang boleh gunakan biodiesel yang kami proses daripada minyak masak terbuang," katanya katanya dalam majlis Hi-Tea MGTC bersama media di ibu negara semalam.

Shamsul Bahar Mohd. Nor
Shamsul Bahar Mohd. Nor

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

Tambah Shamsul, kerjasama bersama syarikat terpilih turut dijalankan bagi mengubah kereta biasa kepada kereta elektrik.

Inisiatif itu bertujuan untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa cara tersebut adalah mudah sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk mempelajarinya.

Program Hari Alam Sekitar 2020 bakal dijalankan di serata pelusuk negara dan berakhir di Kubang Kerian Kelantan.

"Kita faham, disebabkan oleh wabak COVID-19 dan penjarakan fizikal, satu-satu program kami hanya dipenuhi oleh 200 orang. Jadi kami akan perbanyakkan program tersebut di serata negeri pada setiap minggu bermula minggu hadapan," tambahnya lagi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man 

 

Sementara itu, selaku agensi utama di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Tuan Ibrahim turut menaruh dan memberi harapan tinggi kepada MGTC untuk mempromosi dan melaksanakan agenda kelestarian alam hijau.

"Beberapa agenda yang telah dibentangkan oleh MGTC. Kita nampak MGTC telah menyusun kerangka masa hadapan yang sangat hebat, bukan sahaja untuk melestarikan alam sekitar, tetapi pendekatan yang baik itu sendiri dimasukkan sebagai elemen dalam MGTC," tambahnya. - DagangNews.com