Mensyukuri nikmat, memperoleh keberkatan Tahun Baharu | DagangNews Skip to main content

Mensyukuri nikmat, memperoleh keberkatan Tahun Baharu

Keberkatan umur akan kita peroleh dengan sentiasa memperbanyakkan istighfar, menyesal akan dosa yang telah dilakukan serta memohon keampunan daripada Allah SWT. - Gambar hiasan
Oleh PROF. MADYA DR. MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB

UMAT manusia seluruh dunia meraikan peralihan Tahun Baharu dengan pelbagai sambutan besar-besaran sekali gus dilihat saat istimewa yang dinanti-nantikan.

 

Peralihan tahun baharu pastinya signifikan kepada semua. Selain titik permulaan kepada perubahan yang dirancang, ia memberi harapan dan sinar dalam memotivasikan diri ke arah yang lebih baik.

 

Bagi umat Islam, permulaan tahun yang baharu ini wajar menjadi permulaan kepada usaha meningkatkan ilmu dan menambah baik amal ibadah.

 

Pada masa yang sama, muhasabah perlu dilakukan terhadap ruang-ruang masa yang telah berlalu sepanjang tahun ini, sama ada telah dihabiskan pada jalan kebaikan dan ketaatan ataupun sebaliknya.

 

Antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT setelah nikmat iman dan Islam adalah nikmat waktu.


 

parafrasa

 


Tahun demi tahun sudah pun berlalu, dan kesibukan urusan keduniaan telah banyak melalaikan manusia sehingga tidak menyedari bahawa waktu terus berlalu, usia semakin bertambah, dan tempoh umur yang semakin berkurangan.

 

Manusia akan tersedar bahawa ia telah menghabiskan banyak waktu dan umur yang panjang apabila kulit mulai mengendur, gigi mulai tanggal, warna putih mulai kelihatan di rambutnya, dan berbagai penyakit yang mulai menghinggapinya.

 

Namun, terdapat ramai manusia yang masih lalai dan alpa, meskipun sudah ditimpa pelbagai ujian dan cubaan, penyakit dan derita tidak membuatnya sedar akan tempoh waktu yang semakin singkat.

 

Allah SWT mengingatkan kepada manusia akan kepentingan waktu dalam sebuah surah yang pendek dan ringkas iaitu Surah Al-‘Asr ayat 1-3. “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran”. Walaupun surah ini ringkas, namun ia mengandungi makna yang sangat mendalam sehinggakan Imam al-Syafie pernah berkata “Seandainya setiap manusia merenungi kandungan surah ini maka ia sudah memadai untuk mereka”.

 

Perbahasan mengenai waktu tidak dapat lari daripada membicarakan persoalan umur manusia. Umur atau usia merupakan rangkaian waktu bermula sejak dari kita dilahirkan sehingga kita dipanggil kembali oleh Allah SWT.

 

Umur merupakan sebahagian daripada rahsia Allah SWT. Setiap manusia memiliki tempoh umur masing-masing yang perlu diisi dengan segala kebaikan dan amal soleh.

 

Dalam sebuah hadith diriwayatkan seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik? Maka baginda bersabda: Siapa yang panjang usianya dan baik amalnya” (Hadith Riwayat at-Tirmizi). Sekiranya manusia yang terbaik adalah yang panjang umurnya dan baik amalnya, maka akan timbul persoalan, bolehkah kita meminta kepada Allah SWT agar diberikan umur yang panjang?

 

Maka jawapannya adalah boleh dan sangat digalakkan sebagaimana yang terdapat dalam hadith Nabi SAW, daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Ummu Sulaim (ibu Anas bin Malik) berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, doakanlah Anas. Rasulullah kemudian berdoa: Ya Allah, panjangkanlah umurnya, perbanyakkanlah hartanya, dan ampunilah dia” (Hadith Riwayat al-Tabrani).

 

Rasulullah SAW juga mengajarkan umatnya untuk selalu membaca doa: “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari sifat penakut, dan aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan kepada umur yang hina, dan aku berlindung dari fitnah dunia serta berlindung kepadaMu dari seksa kubur” (Hadith Riwayat al-Bukhari).


 

parafrasa

 


Para sahabat Nabi SAW sangat menitikberatkan pertambahan amal ibadah seiring dengan pertambahan usia.

 

Ibnu Mas’ud RA pernah berkata: “Aku tidak pernah menyesal atas sesuatu melebihi penyesalanku atas terbenamnya matahari dan dekatnya ajal ku serta tidak bertambahnya amalku”. Nikmat usia yang diberikan oleh Allah SWT harus dimanfaatkan sebaiknya.

 

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita tentang usia yang boleh menyebabkan kita lalai sekiranya tidak diuruskan dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW: “Dua nikmat yang banyak dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah waktu sihat dan waktu lapang” (Hadith Riwayat al-Bukhari).

 

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita: “Semakin bertambah usia seseorang semakin bertambah dua perkara iaitu cinta harta dan berangan-angan panjang umur” (Hadith Riwayat al-Bukhari).

 

Justeru, Rasulullah SAW berpesan kepada kita semua untuk menjaga lima perkara sebelum datangnya lima perkara, sebagaimana diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. masa sihat sebelum sakit. masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). masa lapang sebelum tiba masa sibuk. masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati” (Hadith Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

 

Daripada perbincangan ayat al-Quran dan hadith-hadith diatas, dapat disimpulkan bahawa umur yang terbaik ialah umur yang mempunyai barakah, iaitu umur yang setiap kali bertambah ia sentiasa diiringi dengan bertambahnya amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT.

 

Ibarat kata pepatah, ikutlah resmi padi, semakin tua semakin berisi, semakin tua semakin menunduk, seiring pertambahan usia maka semakin bertambah keteguhan iman, keindahan akhlak dan kekayaan amal soleh.


 

parafrasa

 


Dalam mengejar keberkatan dalam pertambahan usia, terdapat panduan yang banyak di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.

 

Pertama, keberkatan dalam umur kita boleh diraih dengan sentiasa meningkatkan iman dan takwa kepada Allah SWT, dan kemudiannya menjaganya secara konsisten atau istiqamah sebagaimana firman Allah SWT: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya”(Surah al-A’raf: 96).

 

Kedua, keberkatan umur akan kita peroleh dengan sentiasa memperbanyakkan istighfar, menyesal akan dosa yang telah dilakukan serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

 

Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya. (jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (berterusan) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Dan jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat” (Surah Hud: 3).

 

Ketiga, keberkatan umur akan kita peroleh dengan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT dan memperbanyakkan amal kebaikan, khususnya dengan banyak berbakti kepada kedua ibu bapa.

 

Daripada Salman RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada yang boleh menolak qada kecuali doa dan tidak ada yang menambah umur kecuali berbakti (kepada ibu bapa)” (Hadith Riwayat al-Tirmizi).

 

Keempat, cara untuk mendapatkan keberkatan dalam usia kita adalah dengan mengeratkan hubungan silaturahim, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang hendak diluaskan rezekinya dan diberi keberkatan dalam usianya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturrahim” (Hadith Riwayat Muslim).


 

parafrasa

 


Kelima, di antara cara untuk meraih keberkatan umur adalah dengan cara menghidupkan dan memanfaatkan waktu pagi. 

 

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW pernah mendoakan khusus buat umatnya yang sangat dikasihi: “Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku di waktu paginya” (Hadith Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah).

 

Keenam, antara rahsia untuk mendapatkan keberkatan umur adalah dengan menjaga hubungan yang baik sesama jiran tetangga.

 

Hal ini telah dijelaskan dalam hadith dari Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Menyambung tali silaturahim, dan berbudi pekerti yang baik, dan berbuat baik dengan jiran tetangga, kedua-duanya akan memakmurkan tempat tinggal dan menambah (keberkatan) dalam umur” (Hadith Riwayat Ahmad).

 

Kesemua cara untuk meraih keberkatan usia ini merupakan panduan daripada al-Quran dan hadith Nabi SAW. Seluruh umat Islam wajar menjadikannya sebagai panduan serta berazam untuk melaksanakannya sepanjang tahun 2024, insya-Allah.

 

Tahun baharu ini pastinya menjanjikan seribu satu harapan dan cita-cita bagi semua manusia. Persiapan awal perlu dilakukan bagi menyediakan diri sebaiknya dalam menghadapi mehnah dan tribulasi di masa hadapan.


 

parafrasa

 


Sebagai umat Islam, kita wajib merancang dan berazam untuk mengubah diri kepada yang lebih baik, meningkatkan ilmu pengetahuan serta menambahkan amal ibadah.

 

Masa yang ada pastinya akan terus berlalu pergi tanpa menunggu kita, namun bagi umat Islam, bertambahnya masa dan usia itu perlu seiring dengan bertambahnya amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB adalah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

IKUTI ARTIKEL-ARTIKEL TULISAN DR. MOHD ASHROF (KLIK) DI SINI