KUALA LUMPUR 23 Feb - Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan penempatan pembantu rumah dari Indonesia ditandatangani segera pada tarikh serta masa yang dipersetujui bersama oleh Malaysia dan Indonesia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, mesyuarat itu turut bersetuju supaya MoU tersebut ditandatangani beliau dengan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia.
"Saya telah membentangkan secara rasmi cadangan pemeteraian MoU kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.
"Saya yakin bahawa pemeteraian MoU ini akan memberikan manfaat kepada kedua negara khususnya golongan pembantu rumah Indonesia yang memerlukan pekerjaan dalam situasi ekonomi global yang masih berhadapan dengan krisis COVID-19 serta majikan tempatan yang memerlukan khidmat pembantu rumah," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com