Mesyuarat Khas Parlimen bincang isu berkaitan banjir pada 20 Januari ini - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Mesyuarat Khas Parlimen bincang isu berkaitan banjir pada 20 Januari ini - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan pada 20 Januari 2022 bagi membincangkan isu berkaitan banjir dan pasca banjir.

 

Beliau berkata, pelaksanaan Mesyuarat Khas itu telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

 

"Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.

 

"Mesyuarat Khas ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, sesi berkenaan adalah platform terbaik untuk Ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.

 

Sehingga kini pelbagai bentuk bantuan disediakan kerajaan untuk mangsa banjir termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000, baucar pembelian barangan elektrik berjumlah RM500.

 

Selain itu Perdana Menteri sebelum ini telah mengumumkan baucar pembaikan kenderaan bernilai RM1,000, pemberian khas pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500 dan bantuan tunai kerja-kerja pembaikan rumah antara RM5,000 hingga RM56,000. - Dagangnews.com