KUALA LUMPUR 11 Ogos - Meta akan memfokuskan kepada tiga bidang utama yang akan membantu pertumbuhan perniagaan dan industri di Malaysia sepanjang tahun ini.
Tiga bidang utama itu meliputi perkembangan video, terutamanya Reels, peranan kecerdasan buatan (AI) untuk perniagaan, dan membina peningkatan pulangan pelaburan (ROI) menerusi permesejan perniagaan.
Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan berkata, platform Meta memperkasakan pelbagai perniagaan untuk berhubung dengan orang ramai dan membuka peluang tanpa had untuk mereka berkembang.
"Kami membantu agar mereka mudah ditemui dan menskalakan perniagaan ke serata Keluarga Aplikasi kami.
"Tiga bidang fokus kami untuk tahun ini; Reels, AI dan Permesejan Perniagaan, adalah sangat penting untuk perkembangan komuniti Meta, yang kini menjangkau 3 bilion pengguna di serata dunia - seterusnya membolehkan lebih 200 juta perniagaan pelbagai saiz membina perniagaan mereka di Facebook, Instagram dan WhatsApp," katanya dalam kenyataan media di sini.
Satu lagi kemajuan Meta dalam membantu perniagaan membina perniagaan mereka ialah pelancaran Suite Meta Advantage pada 2022 - satu set produk yang memudahkan langkah-langkah penciptaan iklan dan menghubungkan pengiklan atau pemilik perniagaan dengan aset kreatif dan khalayak yang sesuai, pada masa yang tepat.
Pada tahun 2023, Meta turut berkongsi maklumat mengenai bagaimana AI digunakan untuk mempertingkatkan prestasi iklan untuk perniagaan, termasuk pendedahan awal mengenai AI Sandbox yang menguji keupayaan penghasilan AI untuk pengiklan.
Ciri baru dalam Suite Meta Advantage yang menawarkan alat pengautomasian iklan dan lebih banyak butiran mengenai pelaburan kami dalam infrastruktur dan modeling AI yang mengukuhkan keseluruhannya.
"Pada dasarnya, pemilik perniagaan di platform Meta telah menggunakan sekurang-kurangnya satu daripada produk yang ditawarkan oleh Suite Meta Advantage. Ini bermakna berjuta perniagaan telah pun mendapat manfaat daripada teknologi AI untuk mencapai sasaran perniagaan mereka.
"Kami melihat perkembangan sebanyak 20% tahun ke tahun dalam pertukaran secara keseluruhannya dalam Q4 2022 dan penurunan dalam kos setiap pemerolehan," tambah Nicole.
Fokus ketiga ialah peranan Permesejan Perniagaan dalam memudahkan perbincangan perniagaan di antara pemilik perniagaan dengan khalayak mereka.
Kini terdapat lebih 1 bilion pengguna di serata dunia yang berhubung dengan perniagaan menerusi aplikasi permesejan Meta setiap minggu. - DagangNews.com