MHB catat untung bersih RM21.97 juta pada suku kedua, jangka harga minyak kekal tinggi tahun ini | DagangNews Skip to main content

MHB catat untung bersih RM21.97 juta pada suku kedua, jangka harga minyak kekal tinggi tahun ini

Untuk tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2022, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM24.69 juta. - Gambar : Facebook MHB
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB) mencatat untung bersih sebanyak RM21.97 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian bersih berjumlah RM34.38 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia juga menandakan keuntungan dua suku berturut-turut disebabkan ketiadaan peruntukan kos berkaitan dengan pandemik COVID-19 dan pemulihan aktiviti dry-docking di limbungan berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

Kumpulan merekodkan kerugian bersih sejak suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20) hingga suku keempat FY21, sebelum kembali untung pada suku pertama FY22 sebanyak RM2.72 juta.

 

Bagi suku kedua itu, pendapatan turut meningkat 32.5% tahun ke tahun kepada RM400.63 juta daripada RM302.45 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Untuk tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2022, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM24.69 juta berbanding kerugian bersih RM138.73 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 27% kepada RM818.41 juta daripada RM646.02 juta.

 

Mengenai prospek tahun ini, MHB berkata, harga minyak yang tinggi berkemungkinan akan berterusan dengan permintaan melebihi bekalan terutamanya disebabkan sekatan ke atas eksport minyak Rusia.

 

Katanya, memandangkan harga minyak yang tinggi, perbelanjaan modal oleh syarikat minyak utama juga dijangka terus meningkat.

 

"Bagaimanapun, gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan dan harga komoditi yang tidak menentu seperti keluli di tengah-tengah peningkatan mendadak inflasi global boleh memberi kesan buruk kepada prospek segmen perniagaan kejuruteraan berat serta pelaksanaan projek yang sedang berjalan.

 

"Namun begitu, kumpulan kekal optimis dan berhati-hati dengan prospek bagi segmen kejuruteraan berat," katanya.

 

Menurutnya, pembukaan semula sempadan antarabangsa bagaimanapun memberi kelebihan kepada pemulihan segmen perniagaan marin dengan permintaan dijangka meningkat bagi aktiviti dry-docking di limbungan apabila pemilik kapal bersiap sedia meningkatkan keperluan perdagangan laut.

 

Tambahnya, penutupan berterusan di China juga telah meningkatkan bahagian pasaran apabila pemilik kapal memilih limbungan alternatif di rantau ini.

 

"Tetapi, masalah kekurangan buruh mungkin mengehadkan keupayaan kami untuk mengambil lebih banyak kontrak dan menimbulkan risiko yang ketara kepada pelaksanaan kerja-kerja dry-docking yang tepat pada masanya. 

 

"Oleh itu, kumpulan menjangkakan segmen perniagaan marin kekal mencabar walaupun beransur pulih pada 2022," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, MHB kekal berhati-hati terhadap prospek industri dengan memberi tumpuan untuk meningkatkan nilai kontrak dengan meneroka peluang perniagaan dalam segmen dan rantau baharu. - DagangNews.com