MIDF bantu usahawan kuasai teknologi digital dan automasi untuk capai matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 | DagangNews Skip to main content

MIDF bantu usahawan kuasai teknologi digital dan automasi untuk capai matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030

Mohd Husaimi Hussin dan Tan Sri Abdul Rahman Mamat bersama para peserta Forum Automasi & Digital MIDF – Perjalanan Bersama (Edisi Wilayah Timur) di Kuala Nerus, Terengganu pada 12 September 2023. - Gambar HUSNA ABDULLAH/DagangNews
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 12 Sept - Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) akan terus membantu usahawan untuk menguasai penggunaan teknologi digital dan automasi dalam operasi syarikat mereka demi memastikan matlamat kerajaan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 tercapai.

 

Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, bagi mencapai matlamat NIMP 2030, adalah sangat penting untuk syarikat tempatan terutamanya usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) berubah pantas selari kecanggihan teknologi digital ketika ini.

 

Menurutnya, keupayaan PKS untuk menyesuaikan diri dengan peralihan pasaran dan trend teknologi baharu adalah penting untuk kekal mendahului pesaing serta meningkatkan kedudukan negara dalam rantai nilai global yang akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang bagi Malaysia. 

 

"Penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ditandai dengan beberapa faktor kritikal. Salah satu daripadanya ialah kepentingan bakat dan kemahiran. 

 

"Sekadar melabur dalam mesin dan penyelesaian baharu adalah tidak mencukupi, kerana ketiadaan tenaga kerja yang mahir boleh mengakibatkan lebih banyak kemudaratan kepada mesin daripada peningkatan produktiviti. 

 

"Oleh itu, adalah penting untuk usahawan meningkatkan kemahiran pekerja berkemahiran rendah dan separa mahir untuk memastikan peralihan itu berjaya," katanya.

 

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Forum Automasi & Digital MIDF – Perjalanan Bersama (Edisi Wilayah Timur) yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Husaimi Hussin di sini hari ini.


 

midf

 

midf

 

midf

 


Baru-baru ini, kerajaan telah melancarkan NIMP 2030 iaitu dasar perindustrian untuk sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan. 

 

NIMP 2030 mengariskan empat misi utama iaitu meningkatkan keupayaan PKS untuk menyertai aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi, menggalakkan penggunaan automasi dan teknologi, menyediakan rangka kerja ESG untuk membimbing peralihan, termasuk kewangan serta peluang inovasi dalam solusi teknologi hijau dan menjamin sekuriti ekonomi serta keterangkuman dengan membangunkan syarikat pertengahan.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, forum tersebut bertujuan menghimpunkan pemimpin dan pakar industri, usahawan dan penggubal dasar untuk membincangkan serta mempamerkan trend, teknologi dan strategi terkini dalam perjalanan menuju IR 4.0 selari dengan NIMP 2030.  

 

Forum edisi Wilayah Timur bertemakan 'Memacu Perniagaan Melalui Pendigitalan dan Automasi' itu disertai oleh 90 peserta terdiri daripada usahawan PMKS di sekitar Pantai Timur.

 

Tambahnya lagi, MIDF juga mahu membetulkan salah tanggapan bahawa penggunaan teknologi IR 4.0 mengurangkan peluang pekerjaan dan menyebabkan pekerja manusia tidak lagi relevan. 

 

Sebaliknya, beliau berkata, IR4.0 akan membentuk semula tugas dan huraian kerja, serta memerlukan latihan untuk pekerja berkemahiran rendah dan separa mahir supaya dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan dan perubahan peranan kerja mereka. 

 

"Ini juga selari dengan misi NIMP 2030 iaitu beralih daripada kebergantungan terhadap tenaga kerja berkemahiran rendah (low-skilled labour) kepada pekerja separa mahir dan mahir (semi-skilled and skilled labour).

 

"Sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MIDF akan menyokong syarikat-syarikat tempatan dalam usaha pengautomasian dan digitalisasi mereka melalui penyediaan pelbagai dana. 

 

"Dua daripada dana tersebut ialah Skim Pembiayaan Mudah bagi Automasi dan Pemodenan (SFSAM) dan Skim Pembiayaan Mudah untuk Digital & Teknologi (SFDT).

 

"Dana-dana ini menyediakan pembiayaan sehingga RM20 juta untuk perbelanjaan aset (CAPEX) seperti bangunan komersial, mesin dan peralatan serta modal kerja, dengan kadar pembiayaan tetap serendah empat peratus setahun," katanya yang berharap semua peserta dapat memanfaatkan peluang forum itu untuk meluaskan lagi empayar perniagaan mereka. 

 

Ketika ini, MIDF sedang menguruskan dana kerajaan sebanyak RM3.5 bilion untuk menyediakan pembiayaan berdasarkan prinsip patuh Shariah untuk projek, aset tetap dan modal kerja kepada syarikat-syarikat tempatan dalam semua sektor ekonomi. - DagangNews.com