MIDF gariskan 5 impak ekonomi Belanjawan 2021 | DagangNews Skip to main content

MIDF gariskan 5 impak ekonomi Belanjawan 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - MIDF Research menggariskan enam impak ekonomi berdasarkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 ke atas pelbagai sektor dan lapisan masyarakat baru-baru ini. 

Enam impak berkenaan adalah : 

i. Ekonomi Malaysia melonjak semula menjelang 2021

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada separuh tahun pertama 2020 (1H20) menyaksikan penguncupan sehingga -8.2% berbanding tempoh sama pada tahun lalu disebabkan oleh kejatuhan luar biasa pada suku kedua tahun 2020 atau 2Q20 (-17.1%).

Bagaimanapun, MIDF menjangkakan ekonomi Malaysia akan bertambah baik menjelang 2H20 sebelum melonjak semula pada tahun 2021 didorong operasi semula aktiviti ekonomi di pasaran domestik dan global. 

Ini dibantu oleh pengembangan fiskal dan polisi monetari yang terus membantu proses pemulihan. 

“Impak positif daripada jumlah pengurangan 125 mata asas (bps) kadar dasar semalaman (OPR) dan pakej rangsangan bernilai RM305 bilion dengan suntikan fiskal langsung berjumlah RM55 bilion dijangka menyumbang kepada kesan limpahan dalam ekonomi pada tahun hadapan. 

“Hanya RM38 bilion daripada suntikan fiskal langsung itu termasuk dalam perbelanjaan 2020 dan selebihnya dibawa ke tahun hadapan. Oleh itu, kami menjangkakan ekonomi Malaysia bakal berkembang sebanyak 7% menjelang 2021, sejajar ramalan kerajaan iaitu 6.5% hingga 7.5%,” kata MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

ii. Lebih banyak langkah untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna

Banyak inisiatif berpihak kepada sektor penggunaan swasta yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, di mana dapat menggalakkan lebih banyak perbelanjaan pada masa akan datang.

“Penggunaan swasta merupakan penyumbang terbesar dalam KDNK Malaysia di mana lebih 50% terjejas akibat pandemik COVID-19 memandangkan sentimen pengguna menurun dengan mendadak,” kata MIDF. 

Sehubungan itu, peruntukan kerajaan dalam Belanjawan 2021 termasuk bantuan tunai sehingga RM1,800 di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dapat memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000.

Tambah MIDF, kebenaran untuk pengeluaran dana Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menawarkan bantuan sementara buat individu yang benar-benar terjejas. 

 

iii. Pengurangan caruman KWSP dan cukai pendapatan

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu, kerajaan menekankan pengurangan caruman pekerja KWSP daripada 11% kepada 9% bermula Januari 2021 serta pemotongan 1% dalam cukai pendapatan individu. 

“Kami melihat langkah ini bertindak sebagai penyumbang signifikan kepada penggunaan swasta menjelang 2021 memandangkan ia meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) atau gaji bawa pulang (take-home pay) rakyat Malaysia. 

“Ini dapat meningkatkan kuasa membeli dalam kalangan pengguna dan permintaan terhadap barangan serta perkhidmatan dengan jumlah tambahan,” tambah MIDF.

 

iv. Prospek pasaran buruh lebih baik

Bagi MIDF, beberapa penambahbaikan dalam pengambilan pekerjaan di bawah peruntukan Belanjawan 2021 dapat diteruskan, sebagai contoh menerusi subsidi upah. 

MIDF berkata, subsidi upah dilanjutkan selama tiga bulan lagi memasuki tahun 2021 tetapi secara terpilih kepada sektor pelancongan memandangkan prospeknya masih suram. 

Dalam tambahan, program MySTEP atau program pengambilan pekerjaan tempoh pendek yang diperkenalkan dalam Bajet 2021 bakal menawarkan 50,000 peluang pekerjaan berasaskan kontrak.

“Kesemua inisiatif ini dapat menarik kadar pengganguran lebih rendah, menyumbang kepada pendapatan lebih baik dan seterusnya menyokong perbelanjaan pada masa akan datang,” jelas MIDF. 

 

v. Kerajaan

Walaupun hasil dan perbelanjaan lebih tinggi berbanding yang disasarkan pada tahun ini, MIDF berkata, kerajaan masih komited untuk terus mencadangkan pengembangan Belanjawan 2021. 

“Perbelanjaan terbesar RM322.5 bilion akan menyaksikan peruntukan signifikan sebanyak RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Aktiviti pelaburan kerajaan menerusi projek infrastruktur utama akan dipercepatkan dan bakal menyumbang secara positif kepada pertumbuhan KDNK bagi tahun hadapan. 

“Ini termasuk Transit Aliran Massa 2 (MRT 2), Transit Aliran Ringat 3 (LRT 3), Lebuhraya Pantai Barat, Sistem Aliran Transit Malaysia-Singapura (RTS) dan Lebuhraya Pan-Borneo. Dalam masa sama, terdapat juga peruntukan berbentuk pinjaman kewangan dan geran perniagaan yang dapat meningkatkan aktiviti pelaburan swasta,” kata MIDF. 

Tambah MIDF, operasi semula aktiviti ekonomi, pakej rangsangan kerajaan selain pengembangan bajet dan kadar faedah rendah dapat menyokong pertumbuhan ekonomi menjelang tahun hadapan. 

“Bagaimanapun, pemulihan masih bergantung kepada kejayaan pengekangan pandemik. 

“COVID-19 akan terus menjadi risiko kepada ekonomi global dengan ancaman daripada gelombang baharu sehingga vaksin ditemukan. 

“Dalam masa sama, situasi politik, fahaman perlindungan, dan ketegangan geopolitik merupakan risiko kepada proses pemulihan,” kata MIDF. - DagangNews.com