KUALA LUMPUR 17 Jun - MIDF Research mengekalkan unjuran perkembangan eksport dan import masing-masing sebanyak 16.9% dan 19.2% untuk tahun ini.
Firma itu berkata, walaupun Malaysia mencatatkan hasil dagangan yang kukuh pada Mei 2022 namun ia dijelaskan oleh asas yang lebih rendah pada Mei 2020.
Katanya, dari segi faktor luaran, firma itu menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kesan konflik Rusia-Ukraine yang menjadi punca peningkatan kos serta inflasi di peringkat global.
"Kami juga melihat kelembapan di China sebagai antara risiko yang perlu dihadapi kesan daripada peningkata penularan kes COVID-19 dan kesan negatif daripada sekatan pergerakan yang ketat di negara itu.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan permintaan untuk barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan petroleum (seperti kelapa sawit dan petroleum) akan menjadi pemangkin pada bulan-bulan akan datang.
"Perkembangan import akan kekal dengan kami menjangkakan perbelanjaan pengguna akan meningkat selaras dengan pembukaan semula ekonomi dan perbelanjaan untuk perniagaan juga akan meningkat hasil daripada peningkatan permintaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Eksport Malaysia pada Mei 2022 meningkat 30.5% mengatasi jangkaan - Jabatan Perangkaan
Terdahulu, eksport Malaysia pada Mei 2022 meningkat 30.5% daripada tahun sebelumnya kepada RM120.5 bilion daripada RM92.3 bilion sebelumnya.
Jabatan perangkaan dalam kenyataan berkata, segmen import pada Mei 2022 meningkat 37.3% berbanding tahun lalu kepada paras tertinggi RM107.9 bilion selaras dengan lonjakan dalam barangan pengantara sebanyak 34.1%.
Firma itu berkata, jumlah dagangan Malaysia berkembang sebanyak 33.6% kepada RM228.4 bilion pada Mei 2022 didorong oleh peningkatan dalam segmen eksport dan import.
Katanya, secara kumulatif, jumlah perdagangan meningkat kepada RM1.09 trilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, pencapaian lebih pantas berbanding tahun lalu disokong permintaan luar yang kukuh dengan harga komoditi yang tinggi.
"Prestasi negara adalah lebih baik berbanding anggaran awal kerana ia disokong oleh peningkatan penghantaran ke seluruh negara dan eksport semula yang lebih kukuh.
"Perkembangan teguh dalam penghantaran E&E dan komoditi, khususnya minyak sawit serta produk petroleum, turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport yang lebih kukuh.
"Sementara itu, perkembangan import menjadi lebih pantas iaitu 37.3% pada Mei 2022 berdasarkan kepada peningkatan aktiviti ekonomi domestik dan harga komoditi yang tinggi," katanya. - DagangNews.com