MIDF, Kenanga, kekalkan harga sasaran Malaysia Airports, pemangkin bergantung jumlah penumpang | DagangNews Skip to main content

MIDF, Kenanga, kekalkan harga sasaran Malaysia Airports, pemangkin bergantung jumlah penumpang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Mac - Pemulihan penumpang udara yang lebih kukuh daripada jangkaan adalah pemangkin utama kepada saham Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports), kata MIDF Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, beberapa terma dalam perjanjian operasi (OA) dengan kerajaan menunjukkan terdapat beberapa cara untuk pembangunan modal dengan caj perkhidmatan kapal terbang masa hadapan dijangka lebih dinamik.

 

"Walau bagaimanapun, kebanyakan pemulihan perbelanjaan modal (capex) hanya dijangkakan dalam Tempoh Kawal Selia Kedua (RP2) iaitu pada tahun kewangan 2027 (FY27).

 

"Justeru, sementara menunggu butiran lanjut, kami mengekalkan anggaran pendapatan Malaysia Airports dengan harga sasaran kekal tidak berubah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'Neutral' dengan harga sasaran RM8.75 sesaham.

 

Sementara itu, Kenanga Research pula berkata, semakan tarif caj perkhidmatan yang diumumkan baru-baru ini adalah positif kepada pendapatan Malaysia Airports.

 

Bagaimanapun menurut firma penyeldikan itu, ia mungkin tidak mencukupi untuk membiayai rancangan capex yang lebih agresif. 

 

ltsaas
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang mengendalikan 1.5 juta penumpang sekarang dan dijangka mencatatkan lonjakan penumpang apabila pesawat jet komersial kembali beroperasi tidak lama lagi.

 

Justeru, Kenanga Research mengekalkan saranan 'Market Perform' dengan harga sasaran RM9.00 sesesaham. 

 

"Kami menjangkakan perjalanan udara sama ada tujuan pelancongan atau perniagaan akan terus pulih sepanjang 2024. 

 

"Mengikut unjuran kami, ketibaan pelancong di Malaysia dijangka melonjak 35% kepada 27 juta (selaras unjuran Tourism Malaysia) pada FY2024 daripada anggaran 20 juta setahun yang lalu. 

 

"Pemacu utama ialah pelancong China yang secara sejarah menyumbang kepada 12% daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia. 

 

"Tambahan pula, ketibaan pelancong dijangka dirangsang pengecualian visa 30 hari untuk pelawat China dan India ke Malaysia bermula dari Disember 2023," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu juga menyenaraikan syarikat penerbangan anatarabangsa yang telah dan bakal kembali beroperasi semula di KLIA.

 

Antaranya Kuwait Airways, KLM, Nippon Airways di samping peningkatan jumlah penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia X.

 

"(Malaysia Airports) menjadi proksi yang baik kepada pemulihan perjalanan udara dan pelancongan di peringkat tempatan, serantau dan global," ujarnya. - DagangNews.com