MIDF Research jangka kadar faedah AS kekal rendah | Dagang News Skip to main content

MIDF Research jangka kadar faedah AS kekal rendah

 

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - MIDF Research menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan kadar faedah sepanjang tahun ini hingga 2022. 

 

"Bagaimanapun, ia memberi isyarat untuk menaikkan sekurang-kurangnya sekali kadar faedah bermula akhir 2023," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam dagangan pagi ini, ringgit lemah berbanding dolar AS, susut 205 mata kepada RM4.1360/1385 berbanding penutupan semalam, RM4.1155/1180. 

 

Pada mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) untuk Jun 2021, badan itu mengekalkan kadar faedah pada 0 hingg 0.25%, seperti dijangka oleh pasaran. 

 

Menurut MIDF Research, kadar vaksinasi, pakej rangsang bernilai AS$1.9 trilion dan kadar faedah rendah menjadi antara faktor yang akan menyokong pemulihan ekonomi AS tahun ini. 

 

Katanya, pandemik COVID-19 yang masih berpanjangan merupakan antara faktor negatif yang boleh memberi risiko kepada prospek pertumbuhan.

 

"Kami berpendapat, dasar monetari yang dilonggarkan beserta sokongan fiskal, amat perlu untuk memastikan pemulihan berterusan terutama dengan mengambil kira pasaran buruh yang masih kekal di bawah paras pandemik," tambahnya.

 

Rizab Persekutuan AS mengulangi pendiriannya bahawa terdapat keperluan untuk mengekalkan dasar sedia ada sehingga ia yakin terhadap data pekerjaan dan inflasi, meskipun dasar monetari ketika ini dilihat dianggap akomodatif. - DagangNews.com