MIDF Research kekal 'neutral' selepas segmen pembinaan MRCB terus catat kerugian | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal 'neutral' selepas segmen pembinaan MRCB terus catat kerugian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Mac - MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) pada harga sasaran RM0.36 selepas kumpulan itu terus mencatatkan kerugian dalam segmen pembinaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan kumpulan itu dalam segmen pembinaan disumbangkan oleh projek Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kwasa Sntral, Pakej CB2 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Pakej V210 MRT2, Pakej CA2 Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Perumahan PR1MA Brickfields.

 

Walaupun masih gagal mencatatkan keuntungan namun MRCB berjaya mengurangkan kerugian operasi sebanyak 76.6% kepada RM40.7 juta akibat penutupan sementara tapak pembinaan oleh kerajaan semasa FY21.

 

"Kami 'neutral' dengan prestasi bahagian ini untuk FY22 meskipun MRCB mempunyai tempahan sebanyak RM27.3 bilion selain projek yang belum direkodkan sejumlah RM19.8 bilion.

 

"Walaupun projek berkenaan untuk jangka panjang kumpulan namun untuk jangka pendek dan sederhana prospek kumpulan dilihat sangat mencabar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, MRCB kembali merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM15.83 juta bagi FY2021 yang berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih berjumlah  RM177.37 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

dash

 

Pendapatan untuk tahun FY2021 juga meningkat kepada RM1.45 bilion daripada RM1.2 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan operasi Bahagian Pembangunan Hartanah dan Pelaburan MRCB meningkat hampir dua kali ganda kepada RM153.4 juta pada FY2021 didorong oleh suntikan tiga bidang tanah kepada Seri Iskandar Development Coporation Sdn. Bhd., sekali gus mengkuhkan rizab tanah kumpulan itu. 

 

"Kami juga menjangkakan MRCB akan memanfaatkan inventori yang tidak terjual bernilai RM260.8 juta pada 31 Disember 2021 dan pada masa hadapan, kumpulan ini memiliki rizab tanah seluas 400.88 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM33.35 bilion," katanya. - DagangNews.com