MIDF Research kurangkan 3% unjuran untung bersih TNB bagi FY22 ekoran impak Cukai Makmur  | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kurangkan 3% unjuran untung bersih TNB bagi FY22 ekoran impak Cukai Makmur 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Sept - MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.45 sesaham selepas keuntungan bersih pada separuh pertama tersasar daripada jangkaannya. 

 

Menurut penganalisisnya, Hafriz Hezry, bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersih teras TNB sebanyak RM1.96 bilion, adalah jauh di bawah unjurannya dan konsensus, masing-masing pada 44% dan 42% terutamanya disebabkan kadar cukai yang lebih tinggi iaitu Cukai Makmur dan cukai tertangguh. 

 

"Susulan prestasi separuh kedua yang kurang memuaskan ini, kami mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 3% kepada RM4.31 bilion dengan mengambil kira impak kadar cukai berikutam Cukai Makmur yang lebih tinggi daripada jangkaan kami.

 

"Oleh itu, kami kini mengurangkan keuntungan teras FY22 dengan menjangkakan ia akan menguncup 4.7% tahun ke tahun. 

 

"Tetapi, memandangkan kami menjangkakan impak cukai akan kembali normal tahun hadapan, kami mengekalkan unjuran untung bersih FY23 buat masa ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi tempoh selama enam bulan itu, keuntungan bersih TNB susut kepada RM1.77 bilion daripada RM1.78 bilion sebelum ini, disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan cukai, termasuk tambahan RM257.3 juta bagi Cukai Makmur pada FY22.

 

Selain itu, pendapatan bagi separuh pertama itu meningkat kepada RM34.80 bilion berbanding RM23.92 bilion sebelum ini.

 

Untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022, TNB mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM872.2 juta daripada RM821.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan melonjak kepada RM19.14 bilion daripada RM12.44 bilion.

 

Ini disebabkan peningkatan 'kekurangan kedudukan pemulihan' mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM6.3 bilion berbanding RM314.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, Hafriz percaya, kekangan aliran tunai daripada kekurangan pemulihan kos yang mendalam mungkin menekan pembayaran dividen ke bahagian bawah dasar pembayaran TNB antara 30% hingga 60%.

 

"Dalam hal ini, kami percaya, ia akan mengurangkan daya tarikan saham dalam jangka masa terdekat di tengah-tengah kenaikan kadar faedah," jelasnya.

 

Meskipun optimis terhadap inisiatif penyahkarbonan TNB bagi tempoh jangka masa panjang, tetapi beliau melihat 'peralihan yang menyakitkan' bagi tempoh terdekat hingga sederhana.

 

"Situasi ini disebabkan kesan pendapatan daripada penamatan awal loji arang batu dan pencairan kepentingan daripada pemerbadanan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta kesan kos daripada pengenalan penetapan harga karbon," katanya.

 

Setakat 11.49 pagi ini, harga saham TNB susut 16 sen atau 1.78% kepada RM8.83 dengan 1.37 juta saham diniagakan. - DagangNews.com