KUALA LUMPUR 5 Julai - MIDF research memulakan liputan terhadap Deleum Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM0.96 sesaham.
Firma itu berkata, pemain terkemuka dalam sektor perkhidmatan tenaga merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 4% untuk lima tahun lalu dan segmen tenaga dan mesin menyumbang 69.8% daripada pendapatan keseluruhan pada FY21.
Katanya, segmen perkhidmatan telaga minyak menyumbang 18.6% manakala penyelesaian kakisan bersepadu (ICS) menyumbang 11.2%.
"Hasil bagi FY21 kumpulan itu berada dalam kedudukan 74.3% untuk sektor itu, walaupun pertumbuhan lima tahun yang kecil disebabkan oleh kesan pandemik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, Deleum memiliki aliran tunai yang mampan dalam tempoh lima tahun ini dengan CAGR 8.9%.
Katanya, sehingga 1QFY22, kumpulan itu memiliki tunai bersih RM183.4 juta berbanding pinjaman keseluruhan sebanyak RM30.3 juta pada FY21.
"Kedudukan tunai itu memberikan ruang kepada kumpulan untuk menguruskan risiko terhadap pelan perkembangannya selain menjana pendapatan menerusi kerjasama aktif menerusi kontrak adalah keutamaan mereka," katanya.
Bagaimanapun, firma itu berkata, bahan mentah yang tinggi untuk pengeluaran petrokimia dan perkhidmatan pembinaan serta penyelenggaraan dan pembaikan peralatan dan alatan boleh menjadi risiko terbesar kepada operasi kumpulan secara keseluruhan.
Firma itu berkata risiko dalaman juga menjadi faktor utama kepada risiko perniagaan mereka terutama selepas perkhidmatan mereka pernah diharamkan kerana anak syarikatnya menjalankan perniagaan tidak beretika pada CY20 menerusi projek penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian dengan Petronas Carigali.
"Kesan daripada itu, kumpulan itu perlu membayar kompaun sebanyak RM1 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala lesen anak syarikatnya digantung pada CY21 dan tuntutan mengenai kes itu masih berjalan.
"Kami percaya, kerjasama yang ditunjukkan kedua-dua pihak sangat baik dan kes ini boleh diselesaikan segera," katanya. - DagangNews.com