KUALA LUMPUR 14 Mac - MIDF Research menyemak naik penarafan saham Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd. kepada 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini, dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM2.83 daripada RM2.70.
Firma itu optimis dengan prospek keseluruhan Scientex Packaging (yang dahulunya dikenali sebagai Daibochi Bhd.) memandangkan permintaan yang semakin meningkat dalam pembungkusan mampan.
Katanya, permintaan ini kebanyakannya dipacu sektor makanan dan minuman (F&B) dan barang pengguna cepat laris (FMCG).
"Tetapi, memandangkan isu rantaian bekalan global masih berlarutan, kenaikan berterusan harga resin plastik dan kos pengangkutan masih kekal sebagai risiko utama penurunan.
"Selain itu, ketidakstabilan politik di Myanmar dijanga menyebabkan kumpulan berdepan cabaran dari segi operasi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2022, untung bersihnya susut 22.57% kepada RM11.69 juta berbanding RM15.1 juta bagi tahun kewangan 2021, disebabkan kenaikan harga bahan mentah dan kos pengangkutan.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan bagi tempoh itu meningkat 20.53% kepada RM194.47 juta daripada RM161.34 juta tahun sebelumnya, didorong jualan eksport dan domestik yang lebih tinggi.
Ia menyaksikan bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Januari 2022, untung bersihnya susut 22.93% kepada RM21.49 juta berbanding RM27.89 juta, sebaliknya pendapatan meningkat 17.85% kepada RM374.78 juta.
MIDF Research berkata, prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh tersebut adalah di dalam jangkaannya, justeru tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan.
"Namun, kami menyemak semula TP lebih tinggi pada RM2.83 memandangkan kami memulakan asas penilaian bagi tahun kewangan 2023 (FY23).
"Kami memperoleh TP dengan menambat pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 15.7 sen kepada sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 18x," katanya.
Malah, menurut firma itu, semakan semula penarafan Scientex Packaging juga dibuat setelah mendapati harga sahamnya jatuh selepas cadangan rancangan penswastaan oleh Scientex Bhd. tidak berjaya. - DagangNews.com