MIDF Research positif terhadap sektor pembinaan dengan projek MRT3 dijangka menjadi pemangkin utama | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap sektor pembinaan dengan projek MRT3 dijangka menjadi pemangkin utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - MIDF Research positif terhadap sektor pembinaan disokong  peningkatan aliran menerusi Bajet 2023 serta projek MRT3 yang dilihat bakal menjadi pemangkin utama.

 

Firma itu berkata, keadaan itu juga didorong oleh perkembangan di Sarawak dan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

 

"Kami menjangkakan MRT3, sebagai pemangkin utama sektor itu, akan diberikan kepada pemenang tender menjelang suku keempat tahun ini, selepas tertangguh sejak Disember 2022 berikutan kajian semula kosnya untuk diturunkan sebanyak 10% kepada RM45 bilion.

 

"Ia akan mengambil masa kira-kira setahun pasca pemberian untuk kerja-kerja pembinaan sebenar dimulakan, dengan mengambil kira garis masa untuk pengambilan tanah berkaitan dan proses tender untuk pekerjaan peringkat kedua," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, cadangan menghidupkan semula projek mega seperti projek kereta api laju (HSR) yang sebelum ini berharga kira-kira RM70 bilion sebelum ia dimansuhkan pada 2021, telah menarik minat banyak firma.

 

Katanya, kebanyakan firma pembinaan dan konglomerat terkemuka Malaysia mempunyai wakil yang hadir tetapi tumpuan pastinya tertumpu pada firma pembinaan dan rel China, dengan wakil daripada sekurang-kurangnya 20 syarikat.

 

"Lebih daripada sekadar cara pengangkutan yang lebih pantas, visi MyHSR mengenai HSR KL-Singapura adalah satu yang akan meningkatkan ekonomi negara melalui pelan pembangunan holistik untuk seluruh koridor selatan.

 

"Ia sebelum ini telah mengenal pasti asas kukuh aset berdiri sendiri di sepanjang koridor iaitu 52 aset berstatus MSC, 36 taman perindustrian dan 117 tapak dan aset utama pelancong, yang kesemuanya akan mendapat manfaat daripada sambungan HSR KL-Singapura," katanya.

 

Pilihan utama firma itu adalah Gamuda (beli, TP: RM5.04) untuk rancangan pembesaran luar negara yang kukuh terutamanya di Australia, IJM Corp (beli, TP: RM1.93) untuk memasuki Nusantara dan Sunway Construction (beli, TP: RM2.09), yang telah mencapai 63.9% daripada sasaran pengisian semula buku pesanan RM2 bilion pada Mei 2023.- DagangNews.com