MIDF Research potong unjuran pendapatan IHH Healthcare sebanyak 10% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research potong unjuran pendapatan IHH Healthcare sebanyak 10% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Dis - MIDF Research menyemak turun pendapatan IHH Healthcare Berhad sebanyak 10% bagi FY24 selepas pendapatan kumpulan itu bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23) gagal mencapai unjuran yang ditetapkan.

 

Katanya, keadaan itu ditambah dengan pelupusan Hospital Fortis Malar di Chennai, India oleh Fortis Healthcare Ltd.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan meningkat tetapi tekanan kos yang berpunca daripada peningkatan inflasi dan kenaikan kadar faedah kekal sebagai cabaran utama kumpulan itu.

 

"Namun begitu, kami optimis dalam komitmen kumpulan dalam kawalan kos dan dalam memanfaatkan sinergi dalam rangkaian antarabangsanya untuk mencapai kecekapan kos, memperkemas aliran kerja dan kecemerlangan operasi.

 

"Kami juga menjangkakan IHH akan mengambil langkah aktif bagi memulihkan aset berprestasi rendah dan membuka potensi penuh dalam memenuhi aspirasi pertumbuhan jangka panjang kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih IHH meningkat kepada RM532.07 juta berbanding RM251.76 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM5.83 bilion daripada RM4.6 bilion setahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih IHH meningkat kepada RM2.2 bilion daripada RM1.36 bilion, manakala hasil meningkat kepada RM15.64 bilion daripada RM13.13 bilion sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, peningkatan dalam permintaan bagi penjagaan kesihatan adalah seiring dengan peningkatan populasi penuaan di lokasi tempat IHH beroperasi, ditambah dengan peningkatan dalam pelancongan perubatan berikutan bilangan pengembara yang lebih tinggi di seluruh dunia.

 

"Bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di peringkat tempatan dan serantau, IHH dijangka meningkatkan kapasiti katilnya lebih daripada 30%, menyamai hampir 4,000 katil tambahan di Malaysia, India, Turkiye dan Eropah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM7.08 berbanding RM7.12 sesaham. - DagangNews.com