MIDF Reserach naikkan unjuran asas FBM KLCI | DagangNews Skip to main content

MIDF Reserach naikkan unjuran asas FBM KLCI

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - MIDF Research menaikkan unjuran asas FBM KLCI akhir tahun ini kepada 1,525 mata atau menyamai nisbah harga pendapatan (PER) sebanyak 15.7 kali pada 2021 yang mana penilaian ekuiti ini didorong oleh perkembangan vaksin COVID-19. 

 

Sebelum ini, firma penyelidikan itu mengunjurkan asas KLCI akhir tahun ini pada paras 1,400 mata disebabkan beberapa faktor terutama lonjakan jangkitan wabak dan juga ketidaktentuan kualiti aset perbankan yang terlindung melalui moratorium pinjaman. 

 

Bagaimanapun, katanya, di sebalik faktor itu, vaksin berjaya ditemui 8 bulan selepas pandemik merebak di seluruh dunia berbanding jangkaan awal pada separuh pertama tahun hadapan. 

 

Perkembangan ini memberi berita gembira kepada pasaran ekuiti di seluruh dunia apabila FBM KLCI melonjak sehingga 1,618 mata pada akhir bulan lalu berbanding 1,452 mata pada awal bulan. 

 

"Ini menyaksikan indeks penanda aras pasaran tempatan bagi November ditutup pada 1,563 mata. 

 

"Meskipun kecenderungan penilaian ekuiti yang bermaksud pengembalian adalah wujud, tempoh masa tertentu diperlukan untuk kembali ke paras yang boleh dilanjutkan dengan pemboleh ubah baharu, contohnya vaksin, justeru, kami menyemak semula asas FBM KLCI akhir tahun ini kepada 1,525 mata," katanya dalam laporan ekuiti Malaysia hari ini.

 

Dalam masa sama, MIDF Research juga menyemak semula unjuran hasil korporat FBM KLCI pada 2020 dan 2021 berikutan keputusan yang lebih baik berbanding jangkaan pada suku ketiga tahun ini walaupun lebih cenderung kepada sektor tertentu terutama penjagaan kesihatan. 

 

Bagi suku ketiga ini, 30 komponen FBM KLCI merekodkan peningkatan hasil kepada RM12.57 bilion selepas mencatat pertumbuhan positif masing-masing 78.3% suku ke suku dan 0.7% tahun ke tahun daripada RM7.05 bilion pada suku kedua 2020 dan RM12.48 bilion pada suku ketiga 2019.   

 

"Tahun ini, kami menganggarkan hasil korporat FBM KLCI meningkat kepada 86.0 mata berbanding 85.2 mata setakat akhir September. 

 

"Untuk 2021 pula, ia juga diunjur meningkat kepada 97.1 mata daripada setakat akhir September, 93.2 mata," katanya. 

 

Dari segi sektor pula, firma itu berkata, pendapatan institusi perbankan masih berada dalam jangkaan memandangkan hasil mereka diliputi oleh peningkatan tahap peruntukan yang mengakibatkan pendapatan lebih rendah. 

 

"Ini juga disebabkan oleh tekanan margin faedah bersih apabila kadar dasar semalaman (OPR) dikurangkan beberapa kali tahun ini," katanya.  

 

MIDF Research berkata, bagi sektor sarung tangan getah, harga purata jualan (ASP) akan terus meningkat berbanding suku sebelumnya dan keuntungannya juga agak mengejutkan berdasarkan kepada peningkatan harga bahan mentah pada suku sebelum itu. 

 

Namun, katanya, permintaan akan terus meningkat pada tahun hadapan sejajar dengan kesedaran rakyat yang mengutamakan kebersihan dan juga penggunaan untuk vaksinasi COVID-19 secara meluas. - DagangNews.com