KUALA LUMPUR 10 Mac – Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) menyediakan bantuan sehingga RM100,000 bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di bawah Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0).
SMEEF 2.0 yang diperkenalkan 15 Februari lalu adalah versi yang telah ditambahbaik dari dana Kecemasan PKS (SMEEF) yang pertama kali diumumkan pada 2012.
Ia disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corporation Malaysia dan diuruskan oleh MIDF.
Ketua Bahagian Pembangunan Kewangan MIDF, Azizi Mustafa berkata, bantuan pembiayaan yang diberikan kepada PKS dalam semua sektor ekonomi itu meliputi pelbagai keperluan asas perniagaan termasuklah untuk pembiayaan asset seperti mesin, membaik pulih premis perniagaan serta modal kerja.
"Penambahbaikan lain di bawah SMEEF 2.0 termasuklah tempoh pembiayaan sehingga 5 tahun, moratorium 12 bulan dan kadar pembiayaan 0% untuk pemohon yang berjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk layak menerima bantuan kecemasan ini, PKS yang beroperasi di kawasan bencana hendaklah memberikan bukti terkesan dengan bencana banjir ini dalam bentuk surat daripada pejabat daerah atau salinan laporan polis.
Pemohon juga mesti memiliki lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh majlis perbandaran tempatan. - DagangNews.com