MIDF sedia pembiayaan sehingga RM500,000 bantu syarikat kembali beroperasi | DagangNews Skip to main content

MIDF sedia pembiayaan sehingga RM500,000 bantu syarikat kembali beroperasi

KUALA LUMPUR 2 Jun - Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) melancarkan pembiayaan pemula (jumpstart) sehingga RM500,000 sebagai modal kerja bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Ketua Bahagian Pembangunan Kewangan MIDF, Azizi Mustafa berkata, pembiayaan itu bertujuan membantu perniagaan yang memerlukan modal kerja bagi melancarkan semula operasi selepas terpaksa ditutup sebelum itu dan membelanjakan rizab mereka untuk kekal bertahan semasa tempoh sukar itu.

 

"Industri perkhidmatan adalah antara industri yang paling teruk terjejas dan diharapkan kemudahan ini akan membantu mempercepatkan pemulihan perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Azizi Mustafa
Azizi Mustafa

 

 

Pembiayaan itu dibiayai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan diuruskan oleh MIDF.

 

Ia menyediakan pelbagai bantuan pembiayaan untuk membantu perniagaan beroperasi semula dan menyokong kesinambungan perniagaan yang telah terjejas akibat wabak itu.

 

Kemudahan pembiayaan itu disediakan untuk PKS dan bukan PKS yang terlibat dalam sektor perkhidmatan.

 

Tempoh pembiayaan adalah sehingga 6 tahun termasuk cuti pembayaran 6 bulan dan kadar pembiayaan daripada serendah 2% untuk pemohon yang berjaya.

 

Untuk layak mendapat kemudahan ini, syarikat mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Badan Kawal Selia Profesional yang berkaitan.

 

Syarikat juga mesti memiliki lesen perniagaan yang sah dan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, dengan mempunyai sekurang-kurangnya 60% ekuiti yang dipegang oleh rakyat Malaysia. - DagangNews.com