MIDF semak turun pendapatan Tiong Nam sebanyak 13% akibat kos operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

MIDF semak turun pendapatan Tiong Nam sebanyak 13% akibat kos operasi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - MIDF Research menyemak turun pendapatan Tiong Nam Logistics Holdings Berhad bagi FY22 sebanyak 13% kepada RM6.9 juta selepas menyelaraskan anggaran margin keuntungan disebabkan kos operasi yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam tempoh sembilan bulan, jumlah pendapatan Tiong Nam melonjak kepada RM513 juta yang disumbangkan daripada segmen perkhidmatan logistik dan gudang yang dilihat mampu menyeimbangkan kos operasi yang tinggi dan susut nilai.

 

Katanya, prestasi kukuh yang ditunjukkan segmen itu adalah hasil daripada pemerolehan jumlah pelanggan logistik baharu selain pertumbuhan perniagaan berdasarkan pelanggan sedia ada.

 

"Keuntungan selepas cukai RM1.1 juta yang dicatatkan pada 9MFY22 adalah lebih rendah daripada unjuran kami iaitu 14% dan 11% daripada anggaran pendapatan setahun penuh.

 

"Penurunan itu adalah berpunca daripada kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Syarikat logistik itu mencatatkan untung bersih bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2021 susut 83.5% kepada RM1.06 juta berbanding RM6.41 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 13.5% kepada RM180.73 juta daripada RM159.27 juta bagi tempoh sama 2020 didorong peningkatan hasil menerusi segmen perkhidmatan logistik dan gudang serta hartanah.

 

BACA JUGA: Untung bersih Tiong Nam Q3 susut 83.5%, persekitaran dijangka kekal mencabar

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, pendapatan suku tahun berikutnya akan menjadi lebih kukuh berdasarkan kepada jualan hartanah yang lebih tinggi akibat sentimen terhadap pasaran menjadi lebih baik.

 

Selain itu katanya, rancangan untuk mengembangkan kapasiti gudang kumpulan juga dilihat akan menjadi penyumbang kepada pendapatan kumpulan. 

 

"Kami menyemak semula saranan kami kepada 'beli' berbanding 'neutral' terhadap Tiong Nam pada harga sasaran tidak berubah sebanyak RM0.85 sesaham," katanya. - DagangNews.com