MIDF semak turun unjuran ekonomi 2021, 5.4% | DagangNews Skip to main content

MIDF semak turun unjuran ekonomi 2021, 5.4%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Firma penyelidikan, MIDF Research menjangkakan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 5.4% pada tahun ini. 

 

Unjuran itu disemak turun sebanyak 1.6 mata peratusan daripada 7% kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibuat sebelum ini. 

 

MIDF percaya ekonomi pada tahun ini akan kembali normal pada paras sebelum COVID-19 secara beransur-ansur didorong oleh beberapa faktor penting. 

 

“Kami menjangkakan ekonomi akan berkembang pada 2021, meningkat daripada penyusutan yang diperhati pada 2020 sejajar dengan sambungan semula aktiviti ekonomi domestik dan global ekoran faktor asas rendah pada 2020. 

 

“Bagaimanapun, prestasi ekonomi pada suku pertama 2021 (1Q21) akan disemak turun lebih rendah mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dan sekatan baharu di beberapa negara utama ekoran lonjakan semula kes COVID-19 yang menyekat pergerakan dan mendorong kepada permintaan lebih perlahan. 

 

“Dalam pada itu, kami menjangkakan kemerosotan sementara bagi pemulihan pasaran buruh memandangkan beberapa perniagaan mungkin menghentikan seketika pengambilan pekerja kerana aktiviti perniagaan yang lebih rendah pada tempoh PKP 2.0 yang akan menjejaskan prospek pendapatan,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Tahun lalu, Malaysia menyaksikan ekonomi menyusut, terburuk sejak 1998 apabila KDNK menyusut 5.6%. 

 

Baca : KDNK 2020 terburuk sejak 1998, menguncup 5.6%

 

Malah, penguncupan ekonomi bagi 2020 juga lebih rendah berbanding unjuran yang dibuat Kementerian Kewangan, antara 3.5% hingga 5.5%. 

 

Bagi tahun ini, kerajaan mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 6.5% hingga 7.5%. 

 

Baca : Fitch ‘potong’ separuh ramalan KDNK 2021 Malaysia

 

Tambah MIDF, dengan elemen positif seperti pengedaran vaksin dan pengembangan fiskal dan dasar monetari, kedua-dua permintaan dan bekalan diramalkan bertambah baik terutamanya bermula 2Q21 dan seterusnya. 

 

Baca : Tiada perubahan unjuran defisit, KDNK Malaysia 2021 - Tengku Zafrul

 

“Selain itu, jangkaan pertumbuhan kukuh bagi rakan perdagangan utama seperti China dan Amerika Syarikat (AS) akan membantu pemulihan ekonomi Malaysia menerusi permintaan eksport lebih tinggi. 

 

“Risiko penurunan kepada jangkaan itu termasuk Pelan Vaksinasi Kebangsaan yang tidak lancar, situasi politik, ketidaktentuan harga dalam harga komoditi dan ketegangan geopolitik,” ujar MIDF lanjut.

 

Dari segi perdagangan negara, MIDF menjangkakan lebihan dagangan akan berterusan pada suku-suku akan datang, disokong oleh pertumbuhan eksport yang menerima manfaat daripada aktiviti perdagangan antarabangsa yang sedang pulih. 

 

Jelas firma penyelidikan itu, perubahan dalam gaya hidup dan cabaran akibat pandemik global akan terus menyumbang kepada lonjakan permintaan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta getah. 

 

Untuk rekod, Malaysia menyaksikan lebihan dagangan terus melonjak pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun, iaitu RM62.1 bilion berbanding RM50.9 bilion pada tahun 2019. 

 

Lebihan dagangan besar itu mendorong baki akaun semasa mencatatkan pada kadar 4.4% daripada KDNK (2019: 3.4%), lebih tinggi daripada jangkaan MIDF iaitu 3.6%, terutamanya disebabkan oleh perdagangan barang yang lebih kukuh serta penguncupan KDNK yang lebih besar daripada yang dijangkakan.

 

CGS-CIMB Research dalam nota kajian berbeza pula menekankan unjuran pertumbuhan eksport dan import masing-masing pada kadar 10.9% dan 11.5% pada tahun ini. 

 

“Ini memandangkan pelancaran vaksinasi global yang secara beransur-ansur akan mendorong kepada trend pemulihan ekonomi,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com