MIDF tingkatkan sasaran harga saham AEON Credit kepada RM9.90 | DagangNews Skip to main content

MIDF tingkatkan sasaran harga saham AEON Credit kepada RM9.90

AEON Credit Service (M) Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - MIDF Research membuat semakan semula dan menaikkan harga sasaran sesaham (TP) syarikat penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank, AEON Credit Service (M) Bhd. kepada RM9.90.

MIDF Research berkata, jumlah tersebut ditingkatkan daripada harga sasaran saham sebelumnya iaitu RM9.45.

"Kami percaya kualiti aset berkemungkinan akan kekal stabil.

"Secara keseluruhan, kami kekalkan saranan 'neutral' saham AEON Credit dengan harga sasaran sesaham (TP) disemak semula sebanyak RM9.90 berbanding RM9.45 ketika kami membuat penilaian untuk tahun kewangan 2022," jelas MIDF Research.

Semalam, AEON Credit dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia memberitahu, syarikatnya berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 5.5% bagi suku kedua 2020.

Peningkatan tersebut menjumlahkan keuntungan bersih pada suku berkenaan kepada RM51.81 juta.

Jumlah itu juga adalah lebih tinggi berbanding jumlah untung bersih RM49.13 juta untuk suku kedua 2019.

Tambah MIDF Research, AEON Credit mencatatkan keuntungan bersih pada separuh pertama tahun kewangan 2021 di bawah jangkaan tahun penuh MIDF Research pada 44.6%.

Pendapatan AEON Credit pada separuh pertama 2021 menurun 41.6% berbanding tahun sebelumnya akibat kerugian penurunan nilai yang lebih tinggi sebanyak 15.5% kepada RM286.4 juta.

Bagaimanapun, MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan syarikat berkenaan. - DagangNews.com