Mildef pamerkan teknologi Malaysia di Vietnam International Defence Expo 2022 | DagangNews Skip to main content

Mildef pamerkan teknologi Malaysia di Vietnam International Defence Expo 2022

Vietnam International Defence Expo 2022 di Hanoi merupakan pameran pertahanan antarabangsa yang julung-julung kali diadakan.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 12 Dis - Syarikat pertahanan negara, Mildef International Technologies (Mildef) memperluaskan lagi jaringan perniagaannya apabila menyertai Vietnam International Defence Expo 2022 di Hanoi.

 

Pameran pertahanan yang disertai 175 buah syarikat daripada 30 negara ini berlangsung selama tiga hari yang berakhir semalam di Pangkalan Udara Gia Lam.

 

Penyertaan Mildef sebagai syarikat pertahanan yang menampilkan teknologi kejuruteraan tempatan pada pameran itu merupakan sesuatu yang wajar dibanggakan.

 

Ini kerana Vietnam merupakan antara 20 negara pengimport senjata terbesar dunia dengan perbelanjaan pertahanan tahunan sekitar AS$1 bilion.


 

mildef
Tentera Vietnam memiliki lebih 200 kenderaan APC M113 tinggalan era Perang Vietnam.

 


Sebahagian besarnya adalah persenjataan buatan Rusia tetapi sejak lima tahun lalu Vietnam mula beralih pada negara-negara lain seperti Korea Selatan, India, Israel dan Amerika Syarikat.

 

Menerusi paparan dalam laman Facebook rasmi syarikat, Mildef hadir untuk mempromosikan rolling chassis (kerangka kenderaan).

 

Turut diketengahkan ialah program menaik taraf kenderaan pengangkut infantri (APC) M113.


 

mildef
Rolling chassis buatan Mildef yang dipamerkan pada Vietnam International Defence Expo 2022.

 


"Kehadiran Mildef mendapat sambutan daripada pihak Vietnam dan juga beberapa pempamer yang lain yang menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama.

 

"Program menaik taraf APC M113 misalnya disasarkan kepada Vietnam dan negara-negara yang mengoperasikan platform berasaskan M113," ujar kenyataan tersebut.

 

Tentera Vietnam dipercayai mengoperasikan lebih 200 kenderaan APC bekas kepunyaan tentera Amerika Syarikat yang ditinggalkan semasa Perang Vietnam.

 

Difahamkan Mildef ketika ini juga sedang mengintai peluang untuk menawarkan program menaik taraf kenderaan perisai Adnan ACV 300 dan MIFV yang dibina berasaskan platform M113.


 

mildef
Pegawai-pegawai tentera Vietnam diberi penerangan oleh petugas Mildef. - Gambar Mildef International Technologies


 

mildef


 

mildef

 


Dalam pada itu, rolling chassis buatan Mildef dilaporkan telah menarik minat pihak-pihak dari Timur Tengah untuk membangunkan kenderaan berperisai sendiri.

 

Mildef sebelum ini telah membangunkan rekaan kenderaan perisai mobiliti tinggi (HMAV4x4) Tarantula yang disasarkan bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Teknologi binaan Tarantula memberi perlindungan kepada anggota kerana dilengkapi perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perisai badan Stanag 4569 Level 2. 

 

Walaupun belum ada kata putus daripada Kementerian Pertahanan berhubung pemilihan ini tetapi sumber industri membayangkan Tarantula bakal menjadi pilihan ATM. - DagangNews.com