KUALA LUMPUR 10 Mac - MIMOS, Maxis Bhd. dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) menjalin kerjasama untuk membina Hab Inovasi 5G dan kecerdasan buatan (AI).
Hab yang terletak di MIMOS ini akan membantu mempercepatkan kes penggunaan industri yang digerakkan oleh 5G, Internet Benda (IoT), Pengkomputeran Awan dan AI.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Dr Iskandar Samad berkata, aktiviti R&D yang dijalankannya dipacu pasaran tertumpu kepada melahirkan pemain teknologi tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pasaran, serta mempunyai potensi keboleheksportan untuk masa depan.
“Adalah penting bagi Malaysia untuk menjadi sebuah tempat yang boleh menghasilkan penyelesaian inovatif AI dan 5G secara global.
"Dengan ekosistem inovasi yang kukuh, ia dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Apabila mula beroperasi sepenuhnya, hab ini akan menjadi co-creation testbed untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inkubator untuk penyelesaian inovatif, dan akan memberi akses kepada perusahaan untuk menggunakan infrastruktur dan kemudahan yang didayakan oleh teknologi canggih.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, kerjasama itu adalah penting untuk merungkai potensi besar teknologi canggih yang boleh digunakan oleh industri.
"Dengan berbekalkan kepimpinan dalam rangkaian, perkhidmatan digital dan penyelesaian keterhubungan, kami akan bersama-sama membawa teknologi terbaik untuk membolehkan orang ramai, perusahaan dan negara sentiasa berada di hadapan dalam dunia yang sentiasa berubah," jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan pula berkata, Huawei akan menyediakan infrastruktur, berkongsi pengetahuan dan khidmat nasihat tentang amalan terbaik menerusi kerjasama tersebut.
"Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami ke arah inovasi bersama, dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengan rakan strategik kami dalam berinovasi untuk memajukan ekonomi digital Malaysia," katanya.
Di bawah kerjasama itu, Pusat R&D gunaan nasional, MIMOS akan memainkan peranan sebagai hos dan pemacu inovasi, yang mana agensi itu akan menawarkan khidmat nasihat R&D, kemudahan untuk operasi testbed, demonstrasi dan latihan. MIMOS juga akan menyelia penciptaan penyelesaian untuk membantu industri dalam mencapai pertumbuhan yang berterusan.
Sebagai penyedia penyelesaian terkemuka di Malaysia, Maxis akan memperkasakan hab tersebut dengan memberikan perkhidmatan rangkaian dan ketersambungan terbaik dan akan berkongsi kepakarannya untuk mempercepatkan dan memupuk inovasi baharu.
Sementara itu, Huawei sebagai penyedia teknologi terkemuka akan menggunakan pengalamannya yang luas dalam mengendalikan makmal inovasi, memberi nasihat tentang strategi terbaik global dan berkongsi pengetahuan tentang teknologi dengan rakan ekosistem tempatan. Huawei juga akan membantu membawa inovasi ini ke pasaran global. - DagangNews.com